Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Thursday, July 30, 2009

Siapa bilang ISA tahanan tanpa bicara



AMAT mengejutkan apabila kajian rambang yang dilakukan oleh Biro Undang-undang Tindakan Siswa Bersatu Universiti Kebangsaan Malaysia (TSB) pada 2001 ke atas 100 orang mahasiswa UKM yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menunjukkan kesemua mereka tidak pernah melihat, memegang dan menyelak sehelai demi sehelai Akta 82 tersebut yang keseluruhannya mengandungi 85 Seksyen, 4 Bahagian, 12 Bab dan 3 Jadual.

Saya tidak menyalahkan mereka dan ratusan ribu lagi rakyat Malaysia yang menentang ISA ini kerana jelas mereka menentang akta tersebut semata-mata kerana emosi dan sentimen. Membaca helaian demi helaian akta Parlimen juga bukanlah hobi yang menyeronokkan. Sebab itulah wujud jawatan peguam yang di bayar oleh anak guamnya supaya membaca dan memahami akta Parlimen mengikut selera pembayar upah professional peguam tersebut.

Daripada satu sudut, jelas juga kepada kita bahawa kempen pakatan pembangkang dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah berjaya meresap masuk ke dalam pemikiran kesemua ribuan penentang dengan momokan “ISA Zalim” dan “ISA Tahanan Tanpa Bicara”.

Pemikiran songsang ini melewati empat generasi kerana selalunya, bayi-bayi yang masih menyusu badan juga diusung menyertai demonstrasi anti ISA.

Tahniah juga kepada GMI kerana tanpa perlu berkempen menggunakan modal yang besar dan tanpa perlu ayat panjang berjela, beribu-ribu orang rakyat marhaen bersedia turun ke jalan raya menentang suatu akta yang mereka sendiri tak tahu hujung pangkalnya.

Jika tiada aral melintang, akan berlaku pertembungan unik dua kelompok penunjuk perasaan “pro dan anti” ISA pada 1 Ogos ini. Genap 37 tahun selepas kali terakhir semakan semula ISA dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional.

Demonstrasi 1 Ogos ini tidak sewajarnya berlaku. Penentangan terhadap ISA jika hanya bersandarkan alasan “Zalim dan Tanpa Bicara” sahaja tidak berbaloi dengan kerosakan harta benda yang bakal berlaku.

Ramai orang yang emosi menentang ISA. Hujah emosi juga boleh digunakan untuk menerangkan bahawa ISA perlu dipertahankan. Namun kali ini, dengan setitis ilmu dari lautan perundangan yang saya pelajari, saya akan berhujah dengan fakta.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) diluluskan oleh Parlimen pada 1960 dan disemak semula pada 1 Ogos 1972. ISA telah dipinda beberapa kali bermula dari 1962 dan kali terakhir dipinda pada 24 Ogos 1989.

Sebagai pengenalan kepada kononnya “Akta Zalim” ini, di muka surat 9 akta tersebut di nyatakan:

“Suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi keselamatan dalam negeri Malaysia, tahanan pencegahan, pencegahan subversif, penghapusan keganasan terancang terhadap orang dan harta di dalam kawasan tertentu di Malaysia, dan mengenai perkara yang bersampingan dengannya.”

[Semenanjung Malaysia-1 Ogos 1960, Akta 18 tahun 1960; Sabah, Sarawak - 16 September 1963, L.N. 232/1963]

BAHAWASANYA tindakan telah diambil dan tindakan selanjutnya diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia:

(1) Untuk menyebabkan, dan untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan, keganasan terancang terhadap orang dan harta; dan

(2) Untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang;

DAN BAHAWASANYA tindakan yang diambil dan ancaman yang dibuat itu memudaratkan keselamatan Malaysia;

DAN BAHAWASANYA Parlimen berpendapat perlu dihentikan atau dicegah tindakan itu;

Oleh hal yang demikian MENURUT Perkara 149 Perlembagaan MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya

Perkara 149 Perlembagaan menyatakan bahawa:

PART XI - KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan:

(a) Untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau

(b) Untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan di dalam Persekutuan; atau

(c) Untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau

(d) Untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undangundang; atau

(e) Yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

(f) Yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,

Maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), 163 jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

Jelas kepada kita bahawa Perlembagaan Persekutuan selaku Undang-undang tertinggi Negara menghalalkan Parlimen meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri, melebihi hak-hak asasi individu seperti yang terkandung dalam Fasal 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri boleh sesuka hati menahan sesiapa sahaja musuh politik beliau menggunakan akta ini?

Sebenarnya, bukanlah Perdana Menteri yang mula-mula mencadangkan “sipolan atau sipolan” ditahan di bawah ISA. Kenyataan ini ada benarnya kerana Perdana Menteri mempunyai jadual harian yang ketat dengan acara rasmi kerajaan. Kita sering membaca biografi bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia yang tidak mempunyai masa yang cukup waima bersama keluarga sendiri. Di mana lagi masa 24 jam sehari mahu diperuntukkan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat dan membuat risikan keselamatan sendiri.

Sebenarnya, ada pihak lain yang memang tugas bergajinya untuk menyiasat dan merisik berkaitan dengan hal ehwal keselamatan dalam negeri iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sememangnya, salah satu tugas utama anggota polis adalah menangkap penjenayah. Jelas bahawa kuasa polis menangkap penjenayah boleh berlaku dengan menggunakan Kanun Prosedur Jenayah (CPC), Kanun Keseksaan (PC) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

CPC dan PC prosedur tangkapan adalah sama. Secara gambaran asasnya, di bawah CPC dan PC, anggota polis meronda dan melihat seseorang di hadapan bank dalam keadaan “mencurigakan”. Percaya dengan naluri kepolisannya, maka polis itu akan mendekati suspek. Suspek kemudian memecut laju. Polis tersebut mengejar dan berlaku adegan tembak-menembak. Kereta suspek terbabas lalu polis menahan suspek.

Dalam masa 24 jam yang pertama, suspek boleh ditahan di dalam lokap polis untuk membantu siasatan. Selepas 24 jam, polis tidak lagi berhak menahan suspek tanpa izin tahanan reman daripada majistret.

Kebenaran tahanan reman ke atas suspek boleh diberikan oleh majistret kepada polis untuk tempoh maksimum 14 hari bagi menyambung soal siasat jika 24 jam yang pertama, polis gagal melengkapkan siasatan. Selepas tempoh maksimum 14 hari, suspek akan dituduh di mahkamah selepas polis mendapat izin untuk mendakwa daripada Peguam Negara atau suspek akan dibebaskan jika tiada izin mendakwa daripada Peguam Negara.

Di atas adalah gambaran situasi tahanan reman di bawah CPC dan PC. Terdapat banyak persamaan dan sedikit perbezaan apabila polis menahan seseorang di bawah ISA. Perbezaan hanyalah dari sudut tempoh masa tahanan, proses soal siasat dan watak-watak yang terlibat dengan proses siasatan sahaja. Kuasa polis untuk menahan seseorang di bawah ISA di nyatakan dalam seksyen 73 iaitu:

Kuasa untuk menahan orang yang disyaki

73.

(1) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai

(a) Bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan

(b) Bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

(2) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu tentang identitinya atau tentang maksud yang baginya dia berada di tempat dia ditemui dan yang disyaki oleh pegawai itu telah bertindak atau hampir bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

(3) Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8:

Dengan syarat bahawa:

(a) Dia tidak boleh ditahan lebih daripada dua puluh empat jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor;

(b) dia tidak boleh ditahan lebih daripada empat puluh lapan jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Penolong Penguasa; dan

(c) dia tidak boleh ditahan lebih daripada tiga puluh hari melainkan jika seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Timbalan Penguasa telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan itu kepada Ketua Polis atau kepada seorang pegawai polis yang ditetapkan oleh Ketua Polis bagi maksud itu, yang dengan serta-merta hendaklah melaporkan perkara yang sama kepada Menteri.

(4)-(5) (Dipotong oleh Akta A61).

(6) Kuasa yang diberikan kepada seorang pegawai polis oleh subseksyen (1) dan (2) boleh dijalankan oleh mana-mana anggota angkatan keselamatan, mana-mana orang yang melaksanakan tugas sebagai pengawal atau jaga di dalam suatu tempat terkawal dan oleh mana-mana orang lain yang pada amnya diberi kuasa bagi maksud itu oleh seorang Ketua Pegawai Polis.

(7) Mana-mana orang yang ditahan di bawah kuasa yang diberikan oleh seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai berada dalam jagaan yang sah, dan boleh ditahan di mana-mana penjara, atau di mana-mana balai polis, atau di mana-mana tempat lain yang serupa yang dibenarkan secara am atau khas oleh Menteri.

Hanya selepas 48 jam seseorang itu di tahan polis kerana "disyaki oleh polis" sebagai seorang yang boleh "mengancam keselamatan negara", barulah maklumat berkenaan penahanan tersebut di laporkan kepada menteri bertanggungjawab oleh Ketua Polis yang bertanggungjawab.

Jelas kepada kita bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan polis menangkap sesiapa di bawah ISA. Sekiranya di buktikan wujud arahan Perdana Menteri kepada polis untuk menangkap musuh politiknya di bawah ISA, ternyata Perdana Menteri berkenaan telah melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa yang amat serius.

Kes duluan yang boleh dijadikan panduan yang keputusannya di kekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2003 adalah kes Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu yang didapati bersalah di bawah Ordinan Darurat kerana memberi arahan kepada polis supaya mengugut saksi kes liwatnya adalah satu contoh arahan yang tidak boleh diberi oleh mana-mana menteri atau Perdana Menteri Malaysia kepada polis.

Seseorang yang ditahan untuk proses soal siasat oleh polis mengikut ISA di atas boleh ditahan untuk membantu siasatan untuk tempoh maksimum 60 hari. Hanya selepas tempoh maksimum berkenaan, hasil siasatan polis akan dipersembahkan kepada menteri dan terpulanglah pula kepada menteri berkenaan sama ada untuk terus menahan suspek pengancam keselamatan negara itu atau tidak.

Beza watak dalam CPC dan ISA adalah majistret atau pegawai polis, Peguam Negara atau menteri dan perbezaan masa maksimum tahanan sama ada 14 hari atau 60 hari. Proses yang lain adalah sama.

Kita lihat peruntukan Seksyen 8 ISA yang memberikan kuasa kepada menteri untuk mengizinkan polis menahan seseorang di bawah ISA selama tempoh maksimum 2 tahun yang menyatakan bahawa:

Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang

8 (1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.

CATATAN: Lihat Nota Pesuruhjaya di muka surat 83.

Nota Pesuruhjaya di muka surat 83 menyatakan bahawa:

Nota Pesuruhjaya

PENGESAHAN PERINTAH TAHANAN DAN PENAHANAN DAN INDEMNITI

“5. (1) Jika sesuatu perintah tahanan telah dibuat di bawah sub seksyen 8(1) Akta ibu terhadap mana-mana orang semasa tempoh antara tarikh mula berkuat kuasanya akta ibu dan tarikh mula berkuat kuasanya akta ini (kemudian daripada ini disebut "tempoh peralihan"), maka perintah tahanan itu dan penahanan yang dibuat menurutnya semasa tempoh peralihan itu, dan penerusannya selepas itu, jika ada, adalah dengan ini diisytiharkan sebagai sah dan menurut undang-undang, dan hendaklah disifatkan sebagai, dan sentiasa dan pada setiap masa menjadi sah dan menurut undang-undang, walaupun pada bila-bila masa semasa jangka masa perintah tahanan itu dia telah ditahan di mana-mana tempat selain tempat tahanan yang disebut dalam sub seksyen 8(3) Akta ibu, atau terus ditahan di tempat yang dia telah ditahan di bawah seksyen 73 Akta ibu selepas tempoh maksimum yang diperuntukkan baginya di bawah subseksyen 73(3) Akta ibu tamat, atau telah berada dalam perjalanan dalam jagaan polis atau dalam apa-apa jagaan lain ke tempat tahanan seperti yang disebut terdahulu, atau terdapat apa-apa kelengahan dalam menyampaikan perintah tahanan itu kepadanya, atau perintah tahanan itu telah disampaikan kepadanya di mana-mana tempat selain tempat tahanan itu, atau terdapat apa-apa kecacatan yang berhubungan dengan penyampaian perintah tahanan itu kepadanya.

Menteri Dalam Negeri menurut Seksyen 8 secara perundangannya memiliki dua jenis kuasa iaitu kuasa mengeluarkan Perintah Tahanan dan Perintah Sekatan. Seiring dengan istilahnya, satu perintah menghalalkan penahanan manakala satu perintah lagi mengharamkan penahanan, semata-mata menyekat sahaja. Di atas adalah peruntukan berkenaan Perintah Tahanan manakala Seksyen 8(5) menjelaskan pula tentang Perintah Sekatan iaitu :-

(5) Jika menteri berpuas hati bahawa bagi mana-mana maksud yang disebut dalam sub sekyen (1) perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau supaya sekatan dan syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu tidak perlu untuk menahannya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut "perintah sekatan") yang mengenakan ke atas orang itu semua atau mana-mana sekatan dan syarat yang berikut:

(a) Bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan yang dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktivitinya dan tempat kediaman dan pekerjaannya;

(b) Bagi melarangkan daripada berada di luar rumah antara apa-apa waktu yang dinyatakan dalam perintah itu kecuali di bawah kuasa suatu permit bertulis yang diberikan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan sedemikian;

(c) Bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya mengikut apa-apa cara pada bila-bila masa dan kepada mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan dalam perintah itu;

(d) Bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada, mana-mana organisasi atau persatuan atau daripada mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti politik; dan

(e) Bagi melarangnya daripada membuat perjalanan di luar sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu kecuali mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan dalam perintah itu.

Hasil daripada gabungan frasa perundangan yang memeningkan kepala pembaca seperti ayat-ayat di atas bermaksud Perdana Menteri tidaklah berkuasa menahan musuh politik beliau secara semberono kerana yang sebenarnya berkuasa membuat perintah penahanan adalah Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Keselamatan Dalam Negeri.

Hanya jika Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, maka barulah benar sebahagian tuduhan rambang berkenaan. Itupun selepas beliau menandatangani Perintah Tahanan tersebut atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri dan bukannya sebagai Perdana Menteri. Jika berlaku salah disignasi jawatan ketika menandatangani Perintah Tahanan berkenaan maka akan menjadi satu sebab teknikal mengapa Perintah Tahanan tersebut menjadi tidak sah.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan bahawa Menteri boleh menahan seseorang di bawah ISA selama mana yang Menteri itu suka?

Juga satu kenyataan yang tidak tepat. Menurut Seksyen 13 ISA yang menyatakan bahawa:

Kajian semula

13. *(1) Tiap-tiap perintah atau arahan yang dibuat atau diberikan oleh Menteri di bawah subseksyen 8(1), (5) atau (7) atau di bawah seksyen 10 hendaklah, selagi ia masih berkuat kuasa, dikaji semula tidak kurang daripada sekali dalam tiap-tiap enam bulan oleh suatu Lembaga Penasihat:

Dengan syarat bahawa dalam hal sesuatu perintah tahanan yang terhadapnya representasi telah dibuat, kajian semula yang pertama, sama ada mengenai sesuatu perintah tahanan yang dibuat di bawah sub seksyen 8(1) atau mengenai sesuatu perintah tahanan yang dilanjutkan di bawah sub seksyen 8(7) yang baginya proviso kepada sub seksyen yang akhir disebut itu terpakai, hendaklah diadakan tidak lewat daripada enam bulan selepas selesainya pendengaran representasi itu oleh Lembaga Penasihat yang kepadanya representasi itu telah dibuat.

(2) Lembaga Penasihat hendaklah, apabila selesai tiap-tiap kajian semula di bawah sub seksyen (1), dengan serta-merta menyerahkan kepada Menteri suatu laporan bertulis mengenai tiap-tiap kajian semula itu, dan boleh membuat dalamnya apa-apa syor yang difikirkannya patut.

*CATATAN: Sub seksyen ini telah dimasukkan oleh Akta A61 dan mula berkuat kuasa pada 01-09-1972 dan sebelum tarikh itu peruntukan berikut yang dimasukkan oleh Ordinan No. 4 tahun 1969 (P.U. (A) 186/1969) terpakai:

"(1) Tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah perenggan 8(1)(a) boleh, selagi ia berkuat kuasa, dikaji semula dari semasa ke semasa oleh suatu Lembaga Penasihat mengikut budi bicara Pengerusinya".

Seksyen 13 ISA ini menjelaskan kepada kita bahawa Menteri hanya berkuasa membenarkan tahanan untuk tempoh maksimum 2 tahun yang pertama. Tempoh yang asalnya di "arahkan" oleh Menteri itu pun bukan bersifat "mutlak" kerana Pengerusi Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung boleh mengenepikan tempoh maksimum tersebut mengikut budi bicara beliau. Kelihatan Pengerusi Lembaga Penasihat mempunyai kuasa yang lebih besar daripada menteri.

Bagaimanakah prosedur siasatan Lembaga Penasihat ISA ini?

Seksyen 14,15 dan 16 ISA menceritakan bahawa:

Kuasa untuk memanggil saksi

14. Tiap-tiap Lembaga Penasihat hendaklah, bagi maksud akta ini tertakluk kepada Seksyen 16, mempunyai segala kuasa mahkamah bagi memanggil dan memeriksa saksi, mengendalikan sumpah atau ikrar, dan bagi memaksa dokumen dikemukakan.

Anggota Lembaga Penasihat disifatkan sebagai pekhidmat awam 15. Tiap-tiap anggota sesuatu Lembaga Penasihat hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574], dan hendaklah mempunyai, jika apa-apa tindakan atau guaman dibawa terhadapnya bagi apa-apa tindakan yang dilakukan atau yang ditinggalkan daripada dilakukan dalam pelaksanaan tugasnya di bawah Bab ini, perlindungan dan keistimewaan yang sama sebagaimana yang diberikan oleh undangundang kepada seorang Hakim dalam pelaksanaan jawatannya.

Pendedahan maklumat

16. Tiada apa-apa jua dalam Bab ini atau dalam mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya boleh menghendaki Menteri atau mana-mana anggota Lembaga Penasihat atau mana-mana pekhidmat awam untuk mendedahkan fakta atau mengemukakan dokumen yang difikirkannya sebagai bertentangan dengan kepentingan negara jika didedahkan atau dikemukakan.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan "ISA tahanan tanpa bicara?"

Tuduhan ini amatlah tidak bertanggungjawab. Mungkin pemfitnah membuat tuduhan tersebut bersandarkan kepada satu-satunya peruntukan berikut :-

Nota Pesuruhjaya

PENGESAHAN PERINTAH TAHANAN DAN PENAHANAN DAN INDEMNITI

Akta Keselamatan Dalam Negeri (Pindaan) 1988, [Akta A705] melalui seksyen 5 telah meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (kemudian daripada ini disebut "Akta ibu") yang hendaklah dibaca bersama peruntukan baru yang berikut mulai dari 15 Julai 1988:

(2) Tiada tindakan, guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk, boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuat kuasanya akta ini, atau, jika dibawa atau dimulakan sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini, terus dikekalkan, bagi atau disebabkan oleh, atau berkenaan dengan, apa-apa jua yang dilakukan dengan sahnya berhubung dengan perintah tahanan atau penahanan yang diisytiharkan sebagai sah dan menurut undang-undang di bawah sub seksyen (1), kecuali bahawa peruntukan sub seksyen ini tidaklah terpakai bagi apa-apa prosiding undang-undang sedemikian yang telah selesai dan keputusan muktamad mahkamah telah diberikan berkenaan dengannya sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini atau bagi apa-apa rayuan berkenaan dengan keputusan muktamad itu."

Sedangkan pemfitnah berkenaan membutakan mata mentulikan telinga terhadap

6 lagi seksyen dalam ISA yang membuka ruang seluas-luasnya untuk seseorang itu mencabar keputusan Menteri .

6 seksyen tersebut adalah Seksyen 79 dan 80 ISA yang menyatakan bahawa :-

Bidang kuasa mahkamah

79. Tanpa menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini, selain suatu kesalahan yang boleh dihukum mati, dan untuk menjatuhkan apa-apa hukuman yang ditetapkan baginya tidak melebihi denda sebanyak lima ribu ringgit atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Sekatan ke atas pendakwaan

80. Sesuatu pendakwaan bagi apa-apa kesalahan terhadap Akta ini yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tujuh tahun atau tidak boleh dimulakan kecuali dengan keizinan Pendakwa Raya:

Dengan syarat bahawa, tertakluk kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang berhubungan dengan tatacara jenayah

(a) seseorang yang dipertuduhkan dengan suatu kesalahan sedemikian boleh ditangkap, atau suatu waran penangkapannya boleh dikeluarkan dan dilaksanakan, dan mana-mana orang sedemikian boleh direman dalam jagaan atau atas jaminan, walaupun keizinan Pendakwa Raya mengenai permulaan pendakwaan bagi kesalahan itu belum lagi diperoleh, tetapi kes itu tidak boleh didakwa selanjutnya sehingga keizinan itu diperoleh; dan

(b) jika seseorang dibawa ke hadapan suatu mahkamah di bawah seksyen ini sebelum Pendakwa Raya memberikan keizinannya kepada pendakwaan itu, pertuduhan itu hendaklah dijelaskan kepadanya tetapi dia tidak boleh dipanggil untuk membuat pli dan peruntukan undang-undang itu hendaklah diubahsuaikan dengan sewajarnya.

Sekyen 8B ISA pula menyatakan bahawa:

Kajian semula kehakiman tindakan atau keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Menteri

8B. (1) Tidaklah boleh diadakan apa-apa kajian semula kehakiman di dalam mana-mana mahkamah, dan tiada mahkamah boleh mempunyai atau menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri pada menjalankan kuasa budi bicara mereka mengikut Akta ini, kecuali mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam Akta ini yang mentadbir tindakan atau keputusan itu.

(2) Kecualian mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam sub seksyen (1) tidaklah terpakai jika alasan seperti yang diperihalkan dalam seksyen 8A.

Apakah pula maksud "kajian semula kehakiman”?

Seksyen 8C selanjutnya menyatakan bahawa:

Tafsiran "kajian semula kehakiman"

8C. Dalam Akta ini, "kajian semula kehakiman" termasuklah prosiding yang dimulakan dengan cara:

(a) Permohonan untuk mendapatkan mana-mana perintah prerogatif mandamus, larangan dan certiorari;

(b) Permohonan untuk mendapatkan deklarasi atau injunksi;

(c) Writ habeas corpus; dan

(d) Apa-apa guaman lain, tindakan atau prosiding undang-undang lain yang berhubungan dengan atau berbangkit daripada apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri mengikut Akta ini.

Mengapakah tiba-tiba tertulis kuasa Yang di-Pertuan Agong selain kuasa Menteri dalam kedua-dua seksyen di atas? Bukankah di canangkan se-Malaya bahawa semata-mata Perdana Menteri yang berkuasa penuh? Ternyata fitnah telah tersebar luas.

Seorang yang di tahan di bawah Sekyen 8 ISA boleh mempertikaikan perintah tahanan oleh Menteri tersebut kepada sebuah Lembaga Penasihat yang di lantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 151(2) Perlembagaan Persekutuan.

Anda mula terkejut? Seksyen 11 dan 12 ISA selanjutnya menyatakan bahawa:

Representasi terhadap perintah tahanan

11. (1) Suatu salinan tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah sub seksyen 8(1) hendaklah dengan seberapa segera yang boleh selepas dibuat disampaikan kepada orang yang dimaksudkan olehnya, dan tiap-tiap orang itu berhak untuk membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(2) Bagi maksud membolehkan seseorang untuk membuat representasi di bawah sub seksyen (1) dia hendaklah, pada masa perintah itu disampaikan kepadanya:

(a) Diberitahu mengenai haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat di bawah subseksyen (1); dan

(b) Diberikan oleh Menteri suatu pernyataan bertulis-

(i) Mengenai alasan yang atasnya perintah itu dibuat;

(ii) Mengenai pernyataan fakta yang atasnya perintah itu diasaskan; dan

(iii) Mengenai apa-apa butir lain, jika ada, yang pada pendapat Menteri mungkin semunasabahnya dikehendaki olehnya supaya dapat dia membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh membuat kaedah tentang cara bagaimana representasi boleh dibuat di bawah seksyen ini dan bagi mengawal selia tatacara Lembaga Penasihat.

Laporan Lembaga Penasihat

12. (1) Bilamana mana-mana orang telah membuat apa-apa representasi di bawah subseksyen 11(1) kepada suatu Lembaga Penasihat, Lembaga Penasihat itu hendaklah, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh rayuan itu diterima olehnya, atau dalam apa-apa tempoh selanjutnya yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, menimbangkan representasi itu dan membuat syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong.

(2) Apabila menimbangkan syor Lembaga Penasihat di bawah seksyen ini, Yang di-Pertuan Agong boleh memberi Menteri apa-apa arahan, jika ada, yang difikirkannya patut mengenai perintah yang dibuat oleh Menteri itu; dan tiap-tiap keputusan Yang di- Pertuan Agong mengenainya, tertakluk kepada seksyen 13, muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Keenam-enam seksyen di atas seharusnya mengubah terus persepsi kita terhadap momokan pihak-pihak tertentu yang mereka sendiri keliru dengan tuntutan perjuangan mereka. Jelas kepada kita bahawa kuasa Lembaga Penasihat dan Baginda Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong melalui kedua-dua seksyen di atas rupanya "Puasnya hati Baginda" adalah jauh lebih penting daripada "Puasnya hati" seorang Menteri Dalam Negeri.

Seperkara yang menarik untuk anda tahu iaitu tahukah anda bahawa anda boleh menjadi "jutawan segera" jika anda menang kes di mahkamah kerana di tahan di bawah ISA? Pada 18 Oktober 2007, seorang bekas tahanan ISA daripada parti PAS bernama Malik Hussin telah di perintahkan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar kerajaan Malaysia membayar gantirugi sebanyak RM 2.5 juta kepada beliau atas alasan penahanan beliau di bawah Seksyen 8 ISA oleh Menteri telah di buat secara salah di sisi undang-undang dan berniat jahat "mala fide". Aktivis PAS telah menjadi jutawan kerana menang bicara terhadap "Akta Tanpa Bicara". Pelik kan?

Selain daripada mencabar keputusan Menteri yang "telah puas hatinya" itu, seseorang tahanan ISA juga boleh menjadikan aspek prosedur penahanan polis untuk tempoh tahanan 48 jam yang pertama sahaja, sama ada manual (Standard Operation Prosedur) penahanan telah di patuhi sebaiknya atau tidak. Alasan teknikal seperti ini amat popular dihujahkan oleh peguam yang tiada modal sangat untuk mencabar dari aspek "Perintah Tahanan oleh Menteri". Selain daripada seksyen 73 ISA yang telah dihuraikan pada bahagian awal penulisan ini terdapat 3 lagi seksyen yang menerangkan tentang prosedur penahanan :-

Penggunaan senjata maut dalam melaksanakan penangkapan

74. (1) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain maka sahlah bagi mana-mana pegawai polis untuk:

(a) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang boleh ditahan di bawah mana-mana perintah yang dibuat di bawah seksyen 8;

(b) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang boleh ditangkap dan ditahan di bawah subseksyen 73(1) atau (2);

(c) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang dia mempunyai, dalam segala hal keadaan hal itu, alasan yang munasabah bagi mengesyaki telah melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini atau terhadap mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa ini dinyatakan dalam Jadual Pertama;

(d) Mengatasi tentangan yang menggunakan kekerasan yang diberikan oleh mana-mana orang yang hendak ditangkap itu; atau

(e) Mengelakkan pelarian daripada tangkapan atau penyelamatan mana-mana orang yang ditangkap sebagaimana yang disebut terdahulu, menggunakan apa-apa kekerasan yang semunasabahnya perlu, dalam hal keadaan hal itu, dan kekerasan itu boleh meliputi penggunaan senjata maut.

(2) Tiap-tiap orang yang ditangkap kerana apa-apa kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin selepas penangkapannya diberikan amaran dengan jelasnya mengenai kemungkinan dia ditembak jika dia berusaha untuk melarikan diri daripada jagaan.

(3) Kuasa yang diberikan kepada seorang pegawai polis oleh subseksyen (1) boleh dijalankan oleh mana-mana anggota angkatan keselamatan, dan oleh mana-mana orang yang melaksanakan tugas pengawal atau jaga di dalam sesuatu tempat terkawal, dan oleh mana-mana orang lain yang diberi kuasa secara am bagi maksud itu oleh Ketua Pegawai Polis.

(4) Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh mengurangkan hak pertahanan persendirian yang terkandung dalam seksyen 96 hingga 106 Kanun Keseksaan.

Penerimaan pernyataan sebagai keterangan

75. (1) Jika mana-mana orang dipertuduh dengan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini atau terhadap mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan dalam Jadual Kedua, apa-apa pernyataan, sama ada pernyataan itu terjumlah kepada suatu pengakuan atau tidak atau secara lisan atau bertulis, yang dibuat pada bila-bila masa, sama ada sebelum atau selepas orang itu dipertuduh dan sama ada dalam perjalanan suatu penyiasatan polis atau tidak dan sama ada atau tidak keseluruhan atau sebahagiannya adalah jawapan kepada soalan, oleh orang itu kepada atau dalam pendengaran mana-mana pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor dan sama ada atau tidak diterjemahkan kepadanya oleh mana-mana pegawai polis lain atau mana-mana orang lain yang berkenaan atau tidak, dalam penangkapan itu, walau apa pun apa-apa yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, boleh diterima sebagai keterangan di perbicaraannya dan, jika orang itu menawarkan dirinya sebagai seorang saksi, apa-apa pernyataan sedemikian boleh digunakan dalam pemeriksaan balas dan bagi maksud mencabar kebolehpercayaannya:

Dengan syarat bahawa:

(a) Tiada pernyataan sedemikian boleh diterima atau digunakan sebagaimana yang disebut terdahulu:

(i) Jika ternyata pada mahkamah bahawa pernyataan itu dibuat oleh sebab apa-apa dorongan, ugutan atau janji yang berkenaan dengan pertuduhan terhadap orang itu, yang datangnya daripada seseorang yang berkuasa dan, pada pendapat mahkamah mencukupi, untuk memberi orang itu alasan yang didapati munasabah oleh orang itu untuk menganggap bahawa dengan membuat pernyataan itu dia akan mendapat apa-apa faedah atau dia boleh mengelakkan apa-apa durjana keduniaan berkaitan dengan prosiding terhadapnya; atau

(ii) Dalam hal sesuatu pernyataan yang dibuat oleh orang itu selepas dia ditangkap, melainkan jika mahkamah berpuas hati bahawa dia telah diberikan amaran dengan perkataan yang berikut yang bermaksud sedemikian:

“Adalah menjadi kewajipan saya untuk memberi amaran kepada kamu bahawa kamu tidak diwajibkan untuk menyatakan apa-apa atau menjawab apa-apa soalan, tetapi apa-apa yang kamu nyatakan sama ada sebagai menjawab sesuatu soalan atau tidak, boleh diberikan sebagai keterangan"; dan

(b) Suatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang sebelum ada masa untuk memberi amaran kepadanya tidaklah boleh menjadi tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata kerana dia tidak diberikan amaran jika dia diberikan amaran dengan seberapa segera yang mungkin.

(2) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, seseorang yang dituduh melakukan suatu kesalahan yang baginya subseksyen (1) terpakai tidaklah terikat untuk menjawab apa-apa soalan yang berhubungan dengan hal itu selepas apa-apa amaran sebagaimana yang disebut terdahulu telah diberikan kepadanya.

(3) Seksyen ini hendaklah terpakai berhubung dengan manamana orang yang dibicarakan selepas permulaan kuat kuasa Akta ini, sama ada atau tidak prosiding terhadap orang itu telah dimulakan dan sama ada atau tidak pernyataan yang berkaitan telah dibuat sebelum permulaan kuat kuasa itu.

Publisiti perintah

81. (1) Apabila apa-apa perintah atau peraturan dibuat atau arahan atau suruhan diberikan di bawah Akta ini, Menteri atau pihak berkuasa yang lain yang membuat perintah atau peraturan itu atau memberikan arahan atau suruhan itu hendaklah menyebabkan notis mengenai kuat kuasanya diberikan dengan seberapa segera yang mungkin dengan apa-apa cara yang difikirkannya perlu bagi membawanya kepada pengetahuan semua orang yang pada pendapatnya patut tahu mengenainya, dan perintah, peraturan, arahan atau suruhan itu hendaklah mempunyai kuat kuasa sebaik sahaja notis yang disebut terdahulu telah diberikan, tanpa disiarkan dalam Warta.

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa peruntukan khas yang terkandung dalam Akta ini atau mana-mana kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya, suatu notis yang hendaklah disampaikan kepada mana-mana orang bagi maksud mana-mana seksyen boleh disampaikan dengan meninggalkannya, atau dengan menghantarnya melalui pos dalam suatu surat yang dialamat kepada orang itu, di tempat kediaman atau tempat perniagaannya yang akhir atau biasa.

(3) Mana-mana perintah atau peraturan yang dibuat atau apa-apa arahan atau suruhan yang diberikan di bawah Akta ini boleh pada bila-bila masa semasa penerusannya dikensel oleh orang yang diberikan kuasa untuk membuat perintah atau peraturan itu atau untuk memberikan arahan atau suruhan itu, tetapi tanpa menyentuh kesahannya sebelum itu atau apa-apa jua yang dilakukan di bawahnya atau kepada kuasa orang itu untuk membuat suatu perintah atau peraturan baru atau untuk memberikan suatu arahan atau suruhan baru di bawah peruntukan itu.

Kepada anda yang biasa mengikuti perbicaraan di mahkamah, anda mungkin biasa melihat, hanya kerana sedikit ketidakpatuhan elemen kepada perkataan "dan", "atau", "hendaklah", "bolehlah" dan sebagainya yang di ulang beberapa kali dalam susunan ayat-ayat dalam mana-mana Akta Parlimen pun, hal sekecil itu pun boleh menyebabkan seorang peguam berhujah tanpa henti selama 2 minggu dan kes ditangguhkan selama 6 bulan semata-mata untuk menunjukkan bahawa anak guamnya teraniaya.

Siapa pula Ahli Lembaga Penasihat?

Lembaga Penasihat di tubuhkan di bawah Fasal 151(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu :-

(2) Sesuatu lembaga penasihat yang ditubuhkan bagi maksud Perkara ini hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jadi jelas kepada kita bahawa bukan calang-calang individu yang layak menganggotai Lembaga Penasihat ini dan kuasa mereka jika tidak pun sama adalah melebihi kuasa Menteri Dalam Negeri. Ahli Lembaga ini juga bukanlah "orang politik" . Oleh itu tindakan mereka haruslah di buat tanpa rasa takut dan pilih kasih demi memikul amanah Allah di muka bumi ini.

Cadangan pindaan ISA

Hanya undang-undang tuhan yang sempurna. Undang-undang ciptaan manusia tetap memiliki kelemahan. Namun sesuai dengan kepimpinan YAB Dato Seri Najib yang kelihatan mahu meminda ISA, saya mengemukakan beberapa cadangan berikut :-

1. Mungkin kita dapat mengesan satu frasa yang di gunakan dalam seksyen 8 ISA yang mungkin kelihatan agak "diktator" dan "gila kuasa" iaitu frasa "Jika Menteri berpuas hati…". Dicadangkan sedikit pindaan terhadap frasa ayat tersebut kepada "Jika Menteri, selepas meneliti laporan siasatan polis...”. Mungkin struktur baru ayat ini boleh mengelakkan seseorang berdosa kerana memfitnah.

2. Kuasa polis untuk menahan suspek pengganas selama tempoh maksimum 60 hari wajar di pinda kepada 30 hari sahaja.

3. Penahanan suspek pengganas melebihi 48 jam menurut seksyen 73(3)(b) ISA dengan kebenaran Pegawai Polis berpangkat lebih tinggi dari Penolong Penguasa wajar di pinda kepada "dengan kebenaran Majistret" demi untuk mengelakkan salahguna kuasa di pihak polis.

4. Seksyen 5(2) Nota Pesuruhjaya yang di baca bersama seksyen 8 (1) ISA yang di jadikan satu-satunya hujah "tanpa bicara" wajar dimansuhkan atas alasan "kerana mengelirukan" .

5. Seksyen 16 ISA yang tidak mewajibkan Menteri atau Lembaga Penasihat daripada mendedahkan fakta yang difikirkan bertentangan dengan kepentingan Negara memerlukan sedikit pindaan. Pendedahan tersebut perlu dijadikan mandatori dan maklumat berkenaan perlu juga di kawal oleh Akta Rahsia Rasmi.

Kesimpulan

Saya berharap agar tulisan ini dapat membuka pintu hati manusia agar berfikiran rasional dalam tindakan. Fikirkan semula, sama ada berbaloi atau tidak anda turun ke jalan raya pada 1 Ogos 2009 nanti?. Adakah betul persepsi negatif anda terhadap ISA? Adakah anda dihukumkan wajib untuk hanya mempercayai kata-kata retorik segolongan ahli politik yang sedang rakus berkehendakkan kuasa? Adakah anda percaya bulat-bulat pidato berapi seorang yang kempunan menjadi Perdana Menteri? Adakah anda percaya kepada hujah-hujah ratusan barisan peguam yang menentang ISA kerana mereka ini tidak lebih umpama askar upahan professional yang dibayar secara "cash or kind"?

Sedarkah anda bahawa dengan tindakan anda menentang ISA, anda bermaksud menentang kuasa Yang Di Pertuan Agong kerana Baginda lebih berkuasa daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri. Ingat, polis yang menangkap, Menteri yang mengeluarkan Perintah Tahanan manakala Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berkuasa membebaskan tahanan Kemunting lebih awal dari masanya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan telah menyeru kepada kumpulan Penentang ISA agar jangan berdemonstrasi pada 1 Ogos nanti. Jika demonstrasi diteruskan, maka Ibrahim yang telah dua kali ditahan ISA akan turut turun ke jalan raya menyokong ISA. Kata dua daripada Presiden Perkasa ini perlu di beri perhatian. Jika GMI membatalkan hasrat mereka, kumpulan Tok Him juga akan membatalkan hasrat berdemonstrasi pada hari yang sama.

Sememangnya boleh di hujah dari kaca mata hak asasi manusia, sejuta rakyat untuk berhimpun. Namun hak sejuta rakyat tersebut tidak akan melebihi hak asasi seorang anak kecil untuk bermain-main di taman KLCC selepas seminggu ibu dan bapanya sibuk bekerja.

MOHD KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ ialah Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM). Beliau boleh dihubungi melalui emel: azamaziznco@gmail.com

Monday, July 27, 2009

Kenali Syeikh Mohd Idris Abdul Rauf Al-Marbawi



Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi seorang ulama besar yang tidak asing di Nusantara, di Timur Tengah terutamanya di Mesir dan Makkah. Apa yang menarik mengenai ulama ini ialah perkaitan tempat kelahirannya dengan perkembangan dirinya sesudah itu. Beliau dilahirkan di Makkahtul-Mukarramah pada 28 Zulkaedah 113 H, bersamaan 1893 M. Pada tahun 1913 beliau pulang ke tanahair bersama keluarganya. Ketika berusia 10 tahun, beliau mampu menghafaz 10 juzuk al-Quran di samping beberapa kitab lain. Syeikh Mohd Idris memasuki Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Pendidikan awal yang diperolehi seterusnya ialah di Sekolah Pondok Seikh Wan Muhammad di bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak; Pondok Tuan Husain Al-Mas’udi Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Fatani, Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Berasaskan kepada pendidikan yang diterima beliau merupakan seorang pemburu ilmu agama yang serius. Hampir semua pondok dimana beliau pernah menuntut ilmu merupakan tempat tumpuan pelajar agama dari seluruh pelosok Nusantara. Sesudah memperolehi pelbagai ilmu dan pengetahuan di merata tempat, barulah Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi bertugas sebagai guru agama di negeri Perak.

Pada tahun 1924, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya mendapat ijazah ‘Aliayah. Ketika di universiti itu, beliau menyusun kamus Arab-Melayu yang pertama bagi kegunaan orang Melayu yang ingin mempelajari bahasa al-Quran (Bahasa Arab).Kamus yang tebal itu dinamakan Kamus Al-Marbawi diterbitkan pada tahun 1920-an. Sehingga sekarang, kamus itu sudah diulang cetak tidak kurang daripada 24 kali. Kamus Al-Marbawi ini digunakan secara meluas oleh penuntut-penuntut di Pengajian Islam di Nusantara. Kamus ini dilengkapi dengan ilustrasi bagi memudahkan keterangan dan penjelasan mengenai seuatu istilah Arab dan masih belum ada lagi kamus Melayu-Arab yang dapat mengatasi Kamus Al-Marbawi sehingga kini. Bermula dengan karya pertamanya itu Kamus Al-Marbawi, Syeikh Mohd idris mula menerokai bidang penulisan secara lebih serius dan menghasilkan banyak hasil karya agama. Antara kitab hasil karya beliau ialah Kitab Bahrul Mazi yang membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat. Kitab yang dalam tuliasan Jawi itu diterbitkan dalam 22 jilid, iaitu terjemahan dan ulasan lengkap daripada sebuah kitab Arab. Kitab itu dikatakan sebagai satu daripada kitab hadis yang terawal di negara ini.

Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi juga telah menghasilkan beberapa tafsir al-Quran dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Quran Marbawi, Tafsir Quran Nurul-Yaqin dan Tafsir Surah Yasin. Di samping itu, beliau menghasilkan sebuah lagi kitab berbentuk kamus aneka (Ensiklopedia), lengkap dengan keterangan bergambar. Kamus aneka itu diterbitkan dalam empat jilid. Beberapa karyanya yang lain ialah Tafsir Fathul Qadir, Kitab Bulughul Maram, Kitab Jamiul Ulam, Usul Al-Islam, Nizamul Hayah, Mu’jam Al-Ka’inat (4 jilid) dan beberapa buah kitab lagi. Berasaskan jasa beliau pelbagai institusi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kerajaan Malaysia, memberikan penghormatan tertinggi kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dengan mengistiharkan beliau sebagai tokoh ulama negara terulung. Pada 5 Julai 1980, UKM menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi. Anugerah berkenaan dikurniakan oleh Canselor universiti itu, Tunku Jaafar ibni Almarhaum Tuanku Abdul Rahman sempena konvokesyennya. Pada waktu itu, beliau berusia 86 tahun dan dicatatkan sebagai ulama yang sudah menghasilkan 21 buah karya Islam dalam pelbagai aspek.

Manakala pada 1 Muharram 1408 H, bersamaan 1987 M, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah yang pertama pada usia 95 tahun, dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 serta sebuah pingat dan sijil. Hadiah itu telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa sambutan Maal Hijrah di Pusat Islam, Kuala Lumpur

Melayu tersisih di Pulau Pinang,kesannya besar kepada Islam



1. Jawatan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Semasa BN: 4 ex
co Melayu
Semasa PR: 2 exco Melayu
Ada 4 exco penting diberikan kepada UMNO - Tanah, Perumahan, Belia dan Pertanian.

2. Yang DiPertua MPPP:
Semasa BN: Dato' Zainal Rahim Bin Seman
Semasa PR: Sr. Tan Cheng Chui, AMN, BCN, PKT, PJK

3. Kuota Rumah Kos Rendah:
Semasa BN: 80 - 100% untuk Melayu
Semasa PR: 45% shj untuk Melayu, 45% untuk Cina dan 10% untuk India

4. Surau untuk Projek Perumahan:
Semasa BN: Tapak Surau akan disediakan oleh Pemaju
Semasa PR: Tapak Surau tidak lagi disediakan oleh Pemaju

5. Pentadbiran kerajaan negeri:
Semasa BN: Tiada polisi mengurangkan pengambilan anak2 bukan Melayu
Semasa PR: Ada polisi nak seimbangkan pelbagai kaum.

6. Bahasa Rasmi:
Semasa BN: Mesyuarat dipengerusikan oleh exco menggunakan Bahasa
Malaysia secara rasmi dalam mesyuarat
Semasa PR: Ikut suka kadang-kadang menggunakan BI sepenuhnya.

7. Papan Tanda Jalan:
Semasa BN: Gunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi
Semasa PR: Gunakan semua bahasa kerana rakyat Malaysia berbilang kaum.

8. Dasar Ekonomi Baru (DEB):
Semasa BN: DEB diteruskan untuk kepentingan semua kaum.
Semasa PR: DEB dihapuskan.

9.
Projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang
Semasa BN: DAP menjadi dalang dalam bantah penduduk.
Semasa PR: DAP minta Kerajaan Persekutuan teruskan.

10. Isu Kg. Buah Pala:
Semasa BN: DAP janji akan kembalikan tanah itu kepada rakyat.
Semasa PR: Salahkan kerajaan BN dahulu.

11. Kampung Tradisional Daerah Barat Daya
Semasa BN: 14 kampung dijadikan Kampung Tradisional.
Semasa PR: 3 kampung sahaja; 2 kampung Melayu dan 1 kampung Cina

12. Isu Pusat Hiburan
Semasa BN: DAP, PKR dan PAS akan kurangkan bilangan Pusat Hiburan
Semasa PR: Semakin bertambah, Pusat Siber Kafe dan kedai biasa menjual
nombor ekor secara haram semakin bertambah.

13. Projek Perumahan
Semasa BN: DAP/PAS/PKR akan membina projek perumahan untuk rakyat
Semasa PR: Tiada projek untuk perumahan rakyat dibina sebaliknya projek
perumahan mewah naik bagai cendawan.

14. Banner/kain rentang
Semasa BN: Bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa rasmi.
Semasa PR: Ada tiga bahasa BM, Cina dan Tamil digunakan.

15. Gerai-gerai niaga
Semasa BN: Masih terkawal di tepi-tepi jalan raya dan kawasan perumahan.
Semasa PR: Gerai-gerai niaga di bina di merata-rata tempat tanpa kawalan lagi

16. Isu Orang Melayu Pulau Pinang
Semasa BN: Kerap dibincangkan melalui seminar/bengkel dan sebagainya.
Semasa PR: Tiada parti (kecuali UMNO) dalam PR yang membincangkannya.

17. Sewaan kemudahan milik kerajaan tempatan
Semasa BN: Sewa Dewan Sri Pinang dan Stadium Bandaraya agak murah.
Semasa PR: Kadar sewaan terlalu tinggi.

18. Projek kecil/besar kerajaan negeri Pulau Pinang.
Semasa BN: Banyak projek kecil/besar kerajaan negeri diadakan untuk
membantu kontraktor Melayu.
Semasa PR: Hanya projek-projek kecil dan sangat terhad.

19. Nasib kontraktor kecil
Semasa BN: Sangat lumayan kerana banyak projek dari kerajaan negeri dan
kerajaan persekutuan.
Semasa PR: Jadi miskin kerana kontraktor begitu ramai sedangkan projek dari
kerajaan negeri tidak banyak.

20. Janji Pilihanraya
Semasa BN: Pembangkang berjanji kepada rakyat jika menang akan menolong
rakyat.
Semasa PR: Hanya tinggal janji. Paling mudah, pengistiharan harta exco-exco
dan wakil rakyat PR sudah lebih setahun belum lagi dilaksanakan.

Inilah yang sempat dimaklumkan kepada rakyat Pulau Pinang terutama orang-orang Melayu yang masih 'terlena dan bermimpi' dengan sogokan kata-kata enak YAB Tuan Lim Guan Eng yang sentiasa mengikuti dasar pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dengan berkonsepkan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Pemimpin-pemimpin PAS selaku rakan karib dalam Pakatan Rakyat perlu mempertahankan dasar perjuangan Islamnya. Bagaimana tapak surau tiada lagi disediakan oleh pemaju perumahan semasa pentadbiran PR? Kenapa PAS berdiam dan kenapa UMNO pula boleh meminta pemaju menyediakan tapak surau melalui pentadbiran kerajaan BN sebelum ini? Apakah benar kata TG Nik Aziz bahawa UMNO menolak Islam? Jika PAS benar-benar memperjuangkan Islam di Malaysia ini, Timbalan Perdana Menteri YB Tan Sri Muhyiddin Yasin minta kepimpinan PAS menjelaskan kepada rakyat apakah sumbangan PAS selama ini termasuk di Kelantan yang diperintah melebih 2 dekad lamanya?


Dipetik dari : http://suaraperpaduanmelayu.blogspot.com/

Gerhana matahari satu peringatan



GERHANA matahari


BELUM pun berpisah dengan bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang kekuasaan dan keagungan Allah melalui peristiwa agung Israk dan Mikraj, kita dijodohkan pula dengan peristiwa gerhana matahari yang menyaksikan satu lagi tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

Selaku seorang Muslim, apatah lagi yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya peka dengan fenomena alam ini. Seterusnya berusaha memahami iktibar dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku.

Ketahuilah, bahawa kejadian gerhana ini dijadikan oleh Allah bagi menakutkan hamba-hamba-Nya dan mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. (Matahari dan bulan itu) tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kelahiran seseorang, tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan kedua-duanya."

Allah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan biasanya Kami tidak menghantar turun tanda-tanda melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman). (al-Israk: 59)

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini.

Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini: "Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis."

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekelian manusia, Nabi Muhammad SAW.

Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir.

Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, "Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan.

Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku.

Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya.

Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru r.a berkata: "Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

"Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Apabila Baginda SAW selesai melakukan solat dua rakaat, matahari terang kembali. Baginda SAW pun berdiri, lalu mengucapkan pujian kepada Allah. Kemudian Baginda SAW pun bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Apabila terjadi gerhana, bersegeralah kalian berzikir mengingati Allah".

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apakah pengorbanan yang pernah kita lakukan demi mempertahankan agamanya yang tercinta?

Allah SWT dengan segala keperkasaan dan keagungan-Nya, mampu menjadikan atau tidak menjadikan kejadian gerhana matahari dan bulan. Namun, dari perspektif ilmu saintifik yang dicanang oleh sebahagian saintis moden mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta.

Semuanya itu tidak diyakini dengan pasti, malah berdasarkan sangkaan semata-mata, menurut agakan dan ukuran fikiran mereka yang masih rendah. Sedangkan Nabi SAW menyebut bahawa matahari dan bulan adalah tanda kebesaran Allah dan peristiwa gerhana dijadikan oleh Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya.

Hikmah di sebalik kejadian gerhana

Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:

lMenzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.

lMenerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat: 37)

lMenggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.

lMemperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah 7-9)

lMenggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.

Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.

Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?

Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya

Amalan sunat semasa gerhana

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

lSolat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi".

lBerzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

lBerlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: "Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur."

lBersedekah. Sabda Rasulullah SAW: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah."

lMemerdekakan hamba. Asma' ra berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. "Dalam satu riwayat: "Gerhana bulan."

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

'Faktor Najib' tarik minat



KUALA LUMPUR 26 Julai - Corak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula berjaya menarik perhatian rakyat untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, 'faktor Najib' mula memberi harapan yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia untuk meyakini BN.

"Kepimpinan beliau telah mengangkat kerajaan ke tahap yang lebih tinggi apabila banyak pembaharuan dalam bidang ekonomi kini dilaksanakan," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong 2009 di sini hari ini.

Ahmad Husni berkata, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib juga merupakan satu faktor untuk menyatu dan memajukan orang Melayu sendiri.

"Ada yang bertanya adakah konsep itu akan meminggirkan orang Melayu, ini adalah dasar yang akan memberi faedah besar kepada kita dan inilah masanya kita perlu mengambil peluang itu," katanya.

1,000 sertai UMNO, bukti PKR ditolak di Sabah


KUALA LUMPUR 26 Julai - Tindakan kira-kira 1,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah keluar parti untuk menyertai UMNO semalam membuktikan parti itu tidak mampu untuk bertapak di Sabah.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan semua bekas ahli PKR berkenaan ke dalam UMNO dan berharap mereka boleh menjadi ahli yang setia serta tidak mengecewakan parti.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku dalam MCA dan MIC baru-baru ini iaitu tindakan bekas Naib Presiden mereka, Datuk Dr. Chua Jui Meng dan Datuk S.S Subramaniam keluar parti untuk menyertai PKR terjadi kepada UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 1,000 ahli PKR dari Bahagian Silam, Lahad Datu, Sabah termasuk Exco Wanita PKR Pusat, Siti Sarina Che Ismail mengumumkan keluar parti untuk menyertai UMNO.

Penyertaan beramai-ramai bekas ahli PKR ke UMNO itu diketuai oleh bekas ahli jawatankuasa perhubungan PKR negeri Sabah yang juga bekas Ketua PKR Bahagian Silam, Hassan Malempeng.

Mereka bersama-sama 23 orang bekas ketua cawangan PKR menyerahkan borang penyertaan UMNO masing-masing kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur.

Menurut Hassan, beliau dan rakan-rakannya meninggalkan PKR secara sukarela selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan PKR yang tidak jelas, sebaliknya mereka yakin terhadap perubahan kepimpinan baru UMNO.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa gagasan ''1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan''.

Ujar Ahmad, ahli-ahli UMNO mesti setia kepada perjuangan parti dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berjuang untuk membela nasib rakyat serta membangunkan negara ini.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu membuktikan bahawa rakyat telah sedar hanya BN mampu memperjuangkan nasib mereka.

"Keputusan ini menunjukkan mereka telah sedar bahawa selama ini perjuangan mereka adalah sia-sia.

"Mereka telah nampak bahawa hanya BN yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat di peringkat akar umbi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Salleh, pelbagai masalah yang ditimbulkan pembangkang terutama di Semenanjung telah menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang terlalu rapuh dan hanya inginkan kuasa.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan masih ramai yang berminat menyertai Barisan Nasional (BN) meskipun terdapat beberapa pemimpin BN keluar dari parti itu.

Jangan biar emosi bunuh kematangan siswa berpolitik


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Belia Islam perlu lebih rasional jadi ejen perubahan demi agama, bangsa

ISU hukum hudud, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pemansuhan sekolah agama dan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) antara pertanyaan dilontarkan mahasiswa pada Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam 2009 (Isco 09) anjuran Dewan Amal Islam Hadhari (Damai), di ibu negara Sabtu lalu.

Ia antara 30 soalan dikemukakan ketika sesi pembentangan kertas kerja 'Peranan Mahasiswa Islam Dalam Menstabilkan SosioPolitik di Malaysia' yang dibentangkan oleh Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (Citu) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Muhamad Rahimi Osman.


Ada mahasiswa bertanya kenapa Malaysia sebagai negara Islam tidak melaksanakan undang-undang hudud selain mempersoalkan sama ada ISA masih relevan atau tidak untuk diguna pakai hari ini.

Muhamad Rahimi berkata, soalan bertalu-talu itu pernah ditanyakan beliau serta mahasiswa sejak 20 tahun lalu dan fenomena itu dinamakan 'idealisme mahasiswa'.

Katanya, mahasiswa mempunyai idealisme perjuangan tetapi apabila dalam masyarakat dan alam realiti, mereka berjumpa dengan jawapan kepada setiap persoalan, ketika itu mereka memahami kenapa yang berlaku itu, berlaku.

"Kebanyakan soalan anda perlu dijawab oleh Perdana Menteri. Namun, sebagai mahasiswa Islam, anda perlu menjadi ejen perubahan ke arah kebaikan dalam masyarakat.

"Anda adalah kumpulan penekan untuk memastikan agenda Melayu Islam dapat dijayakan dengan bergerak melalui landasan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Jangan pula apabila ditanya kenapa tidak bersolat, anda kata sebab kerajaan tidak Islam. Kuasa memang pada kerajaan tetapi fardu ain hak individu. Jadi, kepemimpinan mahasiswa mempunyai hak menasihati kerajaan ikut prosedur yang ada," katanya.

Sebelum itu, beliau memperkenalkan peserta kepada sosiopolitik negara bagi membolehkan kesinambungan perjuangan agama dan bangsa diteruskan kepemimpinan muda hari ini untuk masa depan.

Katanya, menjadi kewajipan mahasiswa Islam memahami latar belakang sosiopolitik negara supaya mengetahui seterusnya menghormati kontrak sosial yang dipersetujui pemimpin kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.

Ini termasuk pembentukan pola masyarakat pluralistik yang berlaku selepas penjajahan, perlembagaan sebagai dokumen perundangan serta panduan asas sistem politik, kedudukan agama Islam, bahasa dan adat Melayu, Dasar Ekonomi Melayu (DEB) serta pembinaan negara bangsa Malaysia.

Muhamad Rahimi berkata, generasi muda tidak melihat sejarah tetapi merujuk apa berlaku hari ini menyebabkan mereka menuntut perkara yang dirasakan wajar sedangkan hakikatnya keadaan tidak seperti disangkakan dan memerlukan penelitian.

Beliau berkata, beberapa perkara perlu diberi perhatian supaya dapat menstabilkan sosiopolitik negara kini kerana orang Melayu tidak matang berpolitik, maka berlaku perpecahan di kalangan umat Islam.

"Bangsa Melayu memerlukan kematangan dan kebijaksanaan berpolitik. Jangan jadikan perbezaan fahaman sebagai benteng pemisah dan kerjasama dalam semua urusan. Sering kebencian membunuh perkara rasional sehingga apabila berbeza parti, sanggup putuskan silaturahim," katanya.

Katanya, umat Islam perlu sedar apabila tiada kuasa, mereka menjadi minoriti yang bakal menerima nasib seperti saudara di Selatan Thailand, Mindanao serta etnik Uighur di Xinjiang yang terpinggir serta hak mereka diketepikan.

Kematangan politik juga mengutamakan semangat perpaduan serta kesatuan kerana sejarah membuktikan kejatuhan umat Islam disebabkan perpecahan. Perbezaan pendapat adalah fitrah tetapi kepentingan ummah perlu diutamakan daripada kepentingan sendiri.

Muhamad Rahimi menekankan penguasaan ilmu dalam konteks umat Islam, perlu menimbangkan secara mendalam pengertian adab yang merujuk pemahaman terhadap sesuatu perkara, menegakkan keadilan, membanteras kezaliman.

Katanya, kepemimpinan berwawasan adalah aset kerana pemimpin mampu mengubah struktur negara daripada mundur kepada maju dan makmur seperti Malaysia yang berjaya keluar daripada negara mundur dengan kesungguhan serta kewibawaan pemimpinnya.

Penekanan terhadap usaha ke arah memantapkan mahasiswa Islam yang dibentangkan Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (Hadhari UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, memberi gambaran lebih jelas peranan siswa membantu bangunkan masa depan negara.

Katanya, lima kriteria perlu diberi perhatian untuk menjadi mahasiswa mantap iaitu visi yang jelas, pandai merancang, tingkat ketrampilan, bermuhasabah serta beradab kerana status mahasiswa bukan diperoleh secara suka-suka tetapi terletak padanya harapan.

"Mahasiswa yang mantap tahu tujuan melanjutkan pengajian di menara gading seterusnya memastikan mereka menjadi yang baik dengan ada kecintaan membangunkan ilmu demi diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Mohd Yusof berkata, wawasan yang jelas menjadi asas panduan menetapkan sasaran yang idealistik, akhirnya membolehkan mahasiswa mencapai kecemerlangan. Kehadiran di universiti tanpa matlamat menjadikan kehidupan sebagai mahasiswa tidak bererti.

..::BIODATA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD::..



Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.

Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970.

Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society.

Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.

Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.

Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.

Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.

Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.

Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.

Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.

Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.

Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.

Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut.

Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu 'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.

Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.

Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun.

Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.

Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat dan yang penting juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB.

Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia).

Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia.

Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal.

Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.

Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi.

Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus 'perniagaan' sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan.

Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan.

Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.

Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.

Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali.