Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Friday, January 8, 2010

Faktor pendirian Pas bercelaru



Slogan ‘Pas untuk semua’ memerangkap perjuangan sebenar Pas menegakkan agama Islam.


APAKAH sebenarnya pendirian Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah? Persoalan ini bukan sahaja bermain di fikiran umat Islam malah di kalangan penyokong parti itu sendiri.

Kenyataan seorang demi seorang pemimpin kanan parti tersebut bukannya menunjukkan dengan jelas pendirian Pas sebaliknya hanya menambahkan lagi kekeliruan.

Pada mula umat Islam menyangkakan bahawa pendirian Pas akan sama seperti mana kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang kesemuanya mereka menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Tetapi apabila Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad membacakan hasil mesyuarat Lajnah Politik parti itu yang menegaskan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain, asalkan ia tidak disalahkan guna, maka wujud kekeliruan yang ketara di kalangan umat Islam dan penyokong Pas.

Mereka tidak tahu kenyataan siapakah yang harus diikuti. Ia memandangkan perbezaan pendapat tersebut menyaksikan pertembungan antara dua kelompok dalam Pas iaitu satu puak yang mungkin membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik manakala satu lagi kelompok ialah golongan ulama yang membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan Islam.

Puak politik membuat kenyataan bahawa, ‘‘Pas ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.’’

Manakala Nik Abdul Aziz pula contohnya menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Kenyataan itu diperkukuhkan pula dengan peringatan Haron Din yang menasihatkan umat Islam berhati-hati kerana sokongan mereka kepada penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh membawa kepada kekufuran.

Adalah jelas sama ada Haron Din, Harun Taib, mahupun Nik Abdul Aziz, mereka membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan Islam, ertinya soal politik diletakkan ke tepi. Sebab itulah Nasharuddin dengan tegas pada 2 Januari menyeru umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak umat Islam.

‘‘Tetapi malangnya di dalam Pas, ada kelompok yang terlalu melihat isu ini dari sudut politik, kesudahannya inilah jadinya, orang tertanya-tanya apakah sebenarnya pendirian Pas,’’ kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Menurut pemimpin muda tersebut, di dalam Pas sekarang sudah wujud satu kelompok yang menganggap apa juga isu yang diketengahkan oleh UMNO tidak harus diikuti oleh Pas, biarpun ia berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.

‘‘Puak-puak ini menganggap tidak boleh sama dengan UMNO. Apa yang UMNO perjuangkan Pas tidak boleh ikut. Apa pun isu yang dibangkitkan oleh UMNO akan dianggap mainan UMNO.

‘‘Kalau beginilah keadaan bagaimana kita hendak melihat UMNO dan Pas sekurang-kurangnya bersatu dalam soal kepentingan Islam.

‘‘Sepatutnya dalam isu kalimah Allah, tidak kiralah siapa pun yang memperjuangkan yang penting Pas perlu memainkan peranan kerana ia adalah parti Islah,’’ kata beliau yang ternyata kecewa dengan pendirian Pas.

Apa yang menimbul tanda tanya, apakah keputusan yang dibuat oleh Pas itu yang dilihat tidak selari dengan ulama-ulama Pas semata-mata kerana bermotifkan politik? Ia kerana Pas bukan sahaja mahu menjaga slogan ‘Pas Untuk Semua’, malah lebih daripada itu Pas juga ingin menjaga hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pendirian PKR dalam isu ini tidak harus dipedulikan kerana sampai kiamat pun, apa juga yang dilakukan oleh parti itu mereka akan meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Tetapi soalnya, adakah wajar Pas menjadi ‘pak turut’ dan demi menjaga hati dan undi, maka soal kepentingan Islam pun mahu diketepikan oleh sesetengah pemimpin dalam parti berkenaan.

Atas sebab itulah, pemimpin muda Pas yang dihubungi penulis tersebut menyatakan, oleh kerana soal kalimah Allah ini adalah isu agama dan akidah, ia sepatutnya diserahkan kepada Dewan Ulama atau Majlis Syura Pas untuk menentukan pendirian parti itu.

‘‘Tetapi malangnya, perhitungan politik seolah-olah mengatasi segala-galanya, kesudahannya Pas dilihat bercelaru dan tidak konsisten,’’ katanya.

Apa yang meresahkan di kalangan ahli Pas ialah mereka tidak tahu jika tindakan mengutamakan politik dalam isu seumpama itu akan menyebabkan wujud tafsiran bahawa ulama Pas hendak diperlekehkan.

‘‘Mereka orang berilmu, sepatutnya kita berpandu kepada mereka, apatah lagi Pas memperjuangkan Islam, kalaulah dalam isu agama pun pandangan mereka tidak mahu diambil kira, ke mana sebenarnya Pas hendak dibawa,’’ kata pemimpin muda itu lagi.

Semua kekalutan dan kekeliruan ini seharusnya ditamatkan segera oleh kepimpinan Pas. Ia kerana umat Islam amat memahami bahawa biarpun Pas berbeza fahaman politik terutamanya dengan UMNO tetapi jangan sampai ia menjadi batu penghalang ke arah bersama-sama memperjuangkan kepentingan Islam.

Isu kalimah Allah seharusnya tidak dilihat dari sudut kepentingan politik kerana sebaliknya seperti mana kata Nasharuddin ‘‘Satu pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini.’’

Justeru adalah wajar Pas perlu bijak menilai yang mana satukah isu politik dan yang mana satu isu agama, yang mana satu layak dibincangkan oleh Lajnah Politik dan yang mana satu perlu diserahkan kepada Majlis Syura.

Dalam soal kredibiliti Majlis Syura Pas, ia sudah pasti tidak akan menjadi persoalan kerana yang menganggotai terdiri daripada ulama-ulama utama dalam Pas. Kita harus mengakui mereka juga mempunyai pengaruh yang besar di kalangan ulama Islam tanpa mengira apa pun fahaman politik mereka.

Oleh itu, peranan mereka perlu dipertingkatkan dan bukan sekadar mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh jawatankuasa atau biro Pas yang lain. Kalaulah Pas sendiri tidak begitu yakin kepada Majlis Syura, bagaimanakah pihak lain hendak percaya bahawa majlis berkenaan adalah satu badan yang berwibawa?

Seperkara lagi, bagi sesetengah pemimpin Pas yang masih mahu melihat segala-galanya daripada sudut politik, mereka sepatutnya merujuk kepada Majlis Syura sebelum membuat kenyataan terutamanya yang berkaitan dengan soal akidah dan agama.

Langkah itu penting bagi mengelakkan Pas akan dilihat penuh dengan kekeliruan apabila menyatakan sesuatu pendirian atau pandangan.

Majlis Syura Pas perlu dimartabatkan kedudukannya bukan sekadar hanya menjadi hiasan dalam sebuah organisasi.




Sumber : Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my