Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Tuesday, March 9, 2010

MB Kelantan tidak faham peranan mufti



ROMPIN 8 Mac - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengamalkan fahaman politik sempit dan tidak memahami fungsi serta peranan sebenar mufti sehingga sanggup menggelar mereka sebagai ejen parti politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tugas seseorang mufti adalah melaksanakan segala titah sultan atau raja yang berkaitan dengan soal keagamaan termasuk kepimpinan sesebuah negeri.

"Mufti ialah orang yang dilantik oleh sultan atau raja. Apa-apa titah yang berkaitan negeri dan keagamaan, tentulah ia sesuatu yang dijunjung oleh mufti.

"Jadi tidak boleh jika mufti bercakap mengenai kepimpinan negeri, lalu kita mengatakan mufti itu ejen parti politik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Nik Abdul Aziz berkata, peranan Harussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) terutama dalam soal pembentukan kerajaan campuran di Perak telah merendahkan martabatnya sebagai mufti malah ulama itu tidak layak lagi memakai gelaran tersebut.

Jamil Khir menegaskan, peranan mufti di sesebuah negeri bukan sekadar mengeluarkan fatwa semata-mata, bahkan tugasnya turut menyentuh soal kepimpinan berdasarkan apa yang dititahkan oleh pemerintah kepadanya.

"Hal-hal yang berkaitan soal keagamaan dan titah tuanku adalah tanggungjawab mufti.

"Islam juga merupakan agama yang menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan meliputi politik," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Nik Abdul Aziz berhenti menggelar Harussani sebagai ejen UMNO kerana ulama itu menjalankan tanggungjawab seperti dititahkan oleh Sultan Perak kepadanya.

"Kalau mufti bercakap politik, ulama itu tidak boleh digelar sebagai ejen parti politik. Ini persepsi yang merendahkan kedudukan mufti," tegasnya.


sumber; UTUSAN