Sunday, July 26, 2009

Menghayati Rukun Negara




Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31
Ogos 1970 iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang
menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Ikrar
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan
usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip
yang berikut
Prinsip Rukun Negara
 Kepercayaan kepada Tuhan
 Kesetiaan kepada Raja dan Negara
 Keluhuran Perlembagaan
 Kedaulatan Undang-undang
 Kesopanan dan Kesusilaan


PENJELASAN PRINSIP RUKUN NEGARA:

Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada
Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan
negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi
Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan
dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan
tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan
agama adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan
kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh
meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara.
Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat
terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip
pertama dalam Rukun Negara.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara:

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja
mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan
Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka
Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang
perpaduan rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara
hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki
menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka
bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Keluhuran Perlembagaan:

Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankankeluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya
untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan
keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia
dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan
kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan
semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial
rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana
individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik
dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan
bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan,
kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

Kedaulatan Undang-Undang:

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama
tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua
warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada
Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa
undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil.
Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang
bebas dan berwibawa.
Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan
satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang
akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan
teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan
merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas
asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana
yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin
oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada
dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Kesopanan dan Kesusilaan:

Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku
seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang
bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan
bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan
antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk
seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang
akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini
membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau
menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan
juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua
kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan
supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai
dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

No comments:

Post a Comment

Sebarang Komen di ruangan ini adalah digalakkan,namun begitu penulis blog tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen anda dan sebarang kenyataan berunsurkan kesat dan lucah adalah dilarang sesama sekali..harap maklum.