Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Wednesday, December 23, 2009

Di sebalik isu menantu Nik Aziz


DEWAN Pemuda Pas negeri Kelantan (DPPNK) kelihatan awalnya seolah-olah tidak lagi mempedulikan apa yang mungkin dirasa dan dianggap oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan keluarganya.

Dengan tidak lagi 'berlapik', ia menyelak semula isu, seakan-akan sengaja membiarkan ia bernanah semula ketika Nik Abdul Aziz bagaikan sudah mengatup kemas dan mahukan ia dihentikan.

Mengejutkan apabila DPPNK tiba-tiba menyentak dengan gesaan agar Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu Nik Abdul Aziz segera melepaskan jawatan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Biasalah, jika gesaan itu datang daripada Pemuda UMNO untuk menekan Pas tetapi ternyata isu ini bukan lagi dapat dituding sebagai mainan parti lawan seperti kelazimannya.

Jadi ia sudah menjadi luar biasa apabila belum keputusan rasmi dibuat, cadangan soal gesaan itu terus disuarakan oleh Ketua Penerangan DPPNK, Dr. Rosli Allani Abd. Kader, seolah-olah mula wujud pembangkang dalam parti.

Cadangan gesaan demi menjaga keutuhan parti itu tidak menjadi kenyataan akhirnya apabila kelmarin, DPPNK mula sejuk dan membatalkan mesyuarat dengan alasan "mengambil sikap tunggu dan lihat" perkembangan seterusnya.

Mengejutkan pula apabila Dr. Rosli pula yang tiba-tiba meletakkan semua jawatan dalam parti semalam setelah kes perkahwinannya meletup bagi mengelak Pas terheret dengan persoalan peribadinya.

Sebenarnya, tidak kedengaran hiruk-pikuk UMNO mengeksploitasi isu menantu ini malah parti lawan itu semacam sekadar menonton adegan demi adegan dalam drama politik Pas, mungkin melalui beberapa pengarah sendiri.

UMNO tidak berpesta, ia bagaikan tidak mengambil peluang itu sedangkan itulah yang menjadi kebimbangan Pas, isu yang mungkin akhirnya memualkan dan menyebabkan rakyat menikam Pas dengan teruknya dalam pilihan raya umum kelak.

Mungkinkah ini juga yang menyebabkan DPPNK tidak lagi dapat menahan sabar sedangkan Ariffahmi jelas akan berundur Mac depan, cuma beberapa bulan lagi baginya mempersiapkan diri apabila kehilangan kerjaya dan punca pendapatan.

Tentunya Pemuda Pas itu masih ingat bidasan Nik Abdul Aziz terhadap Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang disifatkannya 'memandai-mandai' kerana kembali mencungkil isu PMBK.

Sambil menegaskan perkara itu telah dibincangkan dan diselesaikan selepas pertemuan dengan pimpinan Pas Pusat baru-baru ini, bagi Nik Abdul Aziz tindakan Mahfuz satu kesilapan yang hanya memberi peluang kepada UMNO untuk 'berpesta'.

"Ucapan Mahfuz betul-betul beri peluang kepada UMNO untuk berpesta. Itu kesilapan dia kerana ini benda yang sudah disiarkan dan dibincangkan kenapa tidak berjumpa saya," ujarnya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengeluarkan kenyataan meminta Abdul Ariffahmi selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK, melepaskan jawatannya dengan segera demi menghormati roh dan semangat pimpinan Pas Pusat yang mahu ia disegerakan.

Dengan cara itu, ia dapat mengelakkan sebarang persepsi dan implikasi kewangan dalam PMBK kerana Abdul Ariffahmi masih boleh membuat sebarang keputusan melalui jawatan itu.

Ariffahmi menegaskan beliau akan berundur mengikut ketetapan yang dibuatnya sebelum ini selaras dengan terma dalam surat pelantikannya.

Bagi Abdul Ariffahmi, ia sekali gus akan memberikan peluang kepada PMBK mencari pengganti dan memastikan urusan pentadbiran tidak terjejas.

Namun Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Haron mengingatkan dengan kuasa yang masih ada sepanjang tempoh berbaki banyak lagi perkara boleh berlaku, jika Abdul Ariffahmi tidak 'berdiam diri' dari segi mulut dan tindakan.

Ada yang bersetuju isu peletakan jawatan ini sebenarnya sudah hampir berakhir dan tidak sepatutnya terus didendangkan, apatah lagi oleh DPPNK, ia bukan lagi persoalan besar.

Mungkin isu yang lebih besar tersembunyi di sebalik itu yang perlu disorot, dikupas dan diperincikan termasuk soal apakah PBMK sebagai penjaga kepada aset negeri telah menyimpang jauh daripada matlamat penubuhan sebenar.

Setakat mana aset itu dipelihara, dikembangkan dengan kepentingan negeri dan rakyat masih belum jelas pada padangan umum dan menjadi tanda-tanya termasuk beberapa projek hartanah yang diwar-warkan dengan gah.

Namun ia kelihatan seolah-olah mengambil alih peranan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri dan mula terlibat secara langsung dalam urusan perniagaan harian dengan memberapa pihak dikatakan mendapat kepentingan.

Di PMBK, ada yang mungkin melihat jaya atau gagal setiap perancangan projek akan turut menentukan untung rugi dari segi masa depan politik Pas kerana segalanya kelak akan terentang di depan mata.

Dengan tunjangan kuasa, pengaruh dan kewangan, ada yang percaya menerusi PMBK juga, percaturan halus boleh dilakukan tentang siapa yang bakal lebih dipercayai oleh Nik Abdul Aziz selaku pengganti.

Bahang konflik masih meruap dan ramai yang terpaksa menunggu dalam diam meneliti perkembangan cerita selanjutnya.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan