Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Monday, July 20, 2009

Jika PAS Sudi Mendengar - Dr Asri


Sumber: http://drmaza.com/home/?p=674

Oleh kerana perkataan Islam disebut dalam nama PAS, maka parti itu hendaklah menghentikan sikap suka mencerca dan memaki hamun orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka. Pemimpin tertinggi parti tersebut hendaklah menasihati ahli-ahli mereka terutama dalam laman-laman web mereka, agar berakhlak dengan orang lain.

Apakah setiap kali berbeza pendapat mereka perlu mencerca pihak yang mereka tidak suka?! Mereka seakan lupa bahawa perkataan dan tulisan cercaan mereka itu akan dibawa ke mahkamah Allah di akhirat. Sebahagian mereka menghalalkan cercaan itu dengan menyatakan ‘orang lain’ lagi teruk. Apakah jika orang lain anda anggap teruk, maka anda boleh melakukannya juga?

Apakah akan terjadi kepada masa depan negara jika kita mengajar budaya ‘jangan berbeza pendapat dengan pemimpin kami, jika tidak awak kami maki”!! Maka rosaklah kebebasan bersuara dan berfikir. Apatah lagi jika isu agama dimasukkan. Sehingga kepada sesama sendiri, dicerca dan dihina.

Mereka hina dan mencerca pemimpin sendiri apabila berlaku perbezaan dalam isu ‘Kerajaan Perpaduan’. Mereka maki Tan Sri Harussani apabila mereka sudah tidak sebulu lagi dengannya. Dulu, mereka juga memaki saya. Lihatlah selepas kenyataan ini dikeluar, sebahagian mereka akan menyambutnya dengan makian dalam blog-blog mereka.

Saya bukan bermusuh dengan PAS, tapi saya memberi teguran sebagai seorang muslim kepada mereka, seperti mana banyak perkara saya memberi pandangan kepada UMNO juga. Generasi muda dan terpelajar makin mampu menilai. Budaya politik maki hamun dan carut marut kerana perbezaan pendapat bukan akhlak Islam, juga bukan kematangan politik masa depan”.



Pemimpin pembangkang ambil kesempatan salahkan kerajaan atas kematian Setiausaha Politik Exco Selangor



MALANG tidak berbau - demikian nasib Teoh Beng Hock, 30, yang mayatnya ditemui pada jam 1.30 tengah hari Khamis lalu di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, bangunan menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14 di mana Setiausaha Politik Ahli Exco Selangor itu disoal siasat kira-kira 10 jam sebelum kemalangan itu disedari. Kejadian malang itu bukan saja mengejutkan anggota keluarganya, apa lagi beliau dijadualkan memeterai perkahwinannya sehari selepas itu, malah menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak bagaimana ia berlaku.

Insiden itu turut membawa malang kepada SPRM kerana ia berlaku selepas Teoh disoal siasat lebih lapan jam oleh pegawainya dan mangsa pula dipercayai terjatuh dari tingkat yang menempatkan pejabat suruhanjaya itu. Sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang tindakannya sentiasa menimbulkan spekulasi terutama di kalangan parti politik, insiden membabitkan pegawai kepada seorang pemimpin politik pembangkang itu menambahkan lagi malang SPRM. Kejadian itu juga sedikit sebanyak 'mencemari' pentadbiran Datuk Seri Naib Tun Razak, yang baru seminggu mencatat beberapa pencapaian dalam tempoh 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, lebih malang lagi dan sememangnya dijangka ialah apabila parti politik khususnya DAP terus menuding jari kepada kerajaan serta menjadikan insiden ini sebagai isu politik dan perkauman. Belum pun pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan, pemimpin pembangkang mengadakan perhimpunan di Shah Alam dan Pulau Pinang menuntut penjelasan sehingga menimbulkan kekecohan serta memaksa polis menahan beberapa orang untuk menenangkan keadaan. Walaupun di pihak kerajaan sama ada Perdana Menteri, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan punca insiden ini akan disiasat hingga ke akar umbi, DAP dan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mungkin menunjukkan rasa puas hati atau berdiam diri. Sebabnya mudah, insiden malang yang menimpa Teoh dan keluarga adalah peluang terbaik pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai masalah dalaman yang menimpa Pakatan Rakyat sekarang.

Pakatan Rakyat belum lagi pulih dengan kekecewaannya atas kemenangan tipis Pas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai Selasa lalu yang mengundang pelbagai reaksi di kalangan pemimpin mereka. Sementara banyak pihak menyifatkan keputusan itu sebagai isyarat wujudnya angin perubahan di kalangan rakyat, khususnya penduduk di Manek Urai terhadap BN, pembangkang seperti biasa mencari pelbagai alasan kecuali diri mereka sendiri. Hanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui dasar kepemimpinan Najib yang mengutamakan rakyat antara sebab peningkatan sokongan kepada BN sehingga mengikis majoriti Pas di Manek Urai.

Malah, Guan Eng turut mengakui pelbagai masalah dalaman parti gabungan Pakatan Rakyat khususnya Pas dan PKR turut menyumbang kepada perkembangan itu, yang dikatakan kurang disenangi oleh pemimpin kedua-dua parti itu. Tanpa Guan Eng membuat pengakuan itu pun, umum sudah mengetahui mengenai keretakan dalam perkahwinan 'mutaah' pembangkang itu, bermula di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan terbaru di Selangor, yang dilihat sebagai ujian sebenar sejauh mana kukuhnya jalinan DAP dan PKR.

Desakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali supaya kerajaan Selangor mengadakan rombakan terhadap barisan Exco negeri itu dan dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju daripada PKR, Wee Choo Keong wujudnya pembabitan seorang Exco kerajaan negeri dalam aktiviti 'gelap' di Selangor, mengundang reaksi yang agak keras di kalangan beberapa Exco Selangor daripada DAP. Kepada orang luar pula, kenyataan berupa kritikan terbuka daripada dua tokoh PKR terhadap kerajaan negeri pimpinan PKR dan sekutu daripada DAP pada waktu hampir serentak, bukanlah suatu kebetulan. Laporan mengenai beberapa Exco Selangor disiasat oleh SPRM selepas itu menambahkan lagi kekalutan dalam kerajaan campuran di negeri itu.

Justeru, timbul pelbagai spekulasi bukan saja terhadap masa depan hubungan PKR-DAP di Selangor, malah kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri. Pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan dijadual mempengerusikan satu mesyuarat Khamis atau Jumaat lalu bagi merungkai masalah itu tetapi insiden malang yang menimpa Teoh menyebabkan isu berkenaan tenggelam.

Kerana itu, tidak hairanlah apabila parti pembangkang akan terus menjadikan insiden malang yang menimpa Teoh sebagai agenda baru perjuangan mereka buat sementara waktu. Semalam misalnya, mereka mengadakan perhimpunan di Kelana Jaya dan beberapa majlis seumpamanya diatur, semuanya bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada masalah dalaman khususnya antara PKR dan DAP serta menyalahkan kerajaan atau kejadian itu.

Sementara kita turut bersedih dan bersimpati atas kejadian malang tak berbau yang menimpa Teoh serta keluarganya, kita juga bimbang dengan kesan tindakan pembangkang menjadikannya sebagai isu politik dan perkauman, kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Memang malang bagi negara jika rakyat terpedaya dengan dakyah seumpama itu sehingga mengetepikan apa jua hasil siasatan oleh suruhanjaya khas yang bakal ditubuhkan. Namun malang seperti itu berbau dan jika dapat dihidu kesannya, pasti ada cara untuk mengelaknya daripada berlaku.


Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Rencana/20090720000825/Article/