Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Friday, February 11, 2011

Hilang kepercayaan, 100 ahli PKR Merbok sertai UMNO



TAJUL Urus Md. Zain (kanan) menerima borang permohonan ahli-ahli PKR yang menyertai UMNO daripada Alang Kasturi di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.


SUNGAI PETANI 10 Feb. - Sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri ini dilihat semakin merosot apabila kira-kira 100 ahli parti itu bertindak menyertai UMNO semalam.

Ia melibatkan ahli PKR Ranting Paya Nahu dalam Cabang Merbok yang diketuai bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) ranting berkenaan, Alang Kasturi yang telah hampir 10 tahun menyertai parti itu.

Menurut Alang, tindakan tersebut diambil bersama ahli yang lain ekoran hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti terutamanya Penasihat PKR dan kepemimpinan kerajaan negeri.

"Kami sekarang sudah muak dengan perangai dan tindakan pemimpin PKR yang bertindak untuk kepentingan peribadi dan bukannya berjuang mengikut kehendak asal parti.

"Lebih kesal, PKR dan pemimpinnya hanya pandai berjanji tetapi tidak menunaikannya walaupun kami memberikan mandat kepada mereka memimpin kerajaan negeri tiga tahun lalu," katanya

Beliau menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan 100 borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Alang memberitahu, para penyokong PKR juga makin tawar hati dengan wakil rakyat pakatan pembangkang kerana gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Sudahlah masalah tidak dapat diselesaikan, wakil rakyat PKR yang dipilih kami entah hilang ke mana, muka pun jarang nampak," dakwanya.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk menyertai UMNO sebagai ahli biasa dan akan membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

"Kami akan berjuang habis-habisan untuk merampas kembali Merbok daripada pembangkang dan saya menjangkakan ramai lagi ahli yang akan mengikut jejak kami meninggalkan PKR ," katanya.

Sementara itu, Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Alang dan rakan-rakannya untuk menyertai UMNO.

Beliau berkata, UMNO menerima kesemua mereka dengan hati terbuka dan berharap lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkah mereka keluar PKR .

"Kini mereka boleh menilai sendiri sama ada perjuangan PKR benar atau sebaliknya. Kita berharap, rakyat khususnya di Parlimen Merbok dapat mengambil iktibar daripada perkara ini," katanya.

Beliau berharap, dengan penyertaan ahli baru tersebut akan memperkasakan lagi UMNO Bahagian untuk merampas kembali Parlimen Merbok daripada PKR dalam PRU13.


sumber: utusan