Renungan hari ini..

Kepada pelawat budiman, terima kasih kerana melayari laman blog ini. Sebarang ulasan amat dihargai. Sila link kan blog ini ke dalam blog anda jika sudi..Terima kasih..

Tuesday, January 26, 2010

Krisis air tahun ini



LOJI-LOJI rawatan air di seluruh negara dijangka menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah ekoran kemarau pada tahun ini. - Gambar hiasan


AMPANG – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meramalkan akan berlaku krisis air pada tahun ini berikutan beberapa tanda awal kemarau yang semakin jelas di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Ketua Penguatkuasaan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Ashwar Abd. Aziz berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan dari beberapa negeri yang sudah mula mengalami masalah kekurangan bekalan air yang kritikal.

“Hasil lawatan saya di utara dan timur Semenanjung baru-baru ini, menunjukkan paras air di loji-loji air di sana sudah semakin susut.

“Contohnya di Universiti Utara Malaysia (UUM), tahapnya jelas membimbangkan kerana keseluruhan kawasan di situ sudah mengalami masalah terputus bekalan air sejak beberapa hari lalu,” dedahnya selepas menghadiri majlis dialog tentang isu air kotor bersama penduduk Taman Dagang di sini semalam.

Ashwar berkata, hasil siasatan SPAN menunjukkan, loji bekalan air di UUM sudah tidak mampu menampung keperluan semasa penduduk sekitarnya.

“Jadi saya berharap mulai sekarang rakyat Malaysia bolehlah memikirkan untuk berjimat cermat menggunakan air. Kalau basuh kereta, janganlah sampai tertanggal cat,” katanya.

Menurut beliau, selain UUM, pihaknya turut menerima aduan kes terputus bekalan air di Kota Bharu, Kelantan membabitkan sebuah hospital kerana loji yang ada gagal membekalkan air.

“Anda boleh bayangkan bagaimana bayi yang baru dilahirkan di hospital boleh dibersihkan jika tiada bekalan air,” tegasnya.

Selain itu, katanya, ada kes yang dimaklumkan kepada pihak SPAN di mana jenazah terpaksa dimandikan menggunakan air sungai kerana terputus bekalan air.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan yang dimaksudkan.


sumber:kosmo

Angkara Yahudi






Usaha terancang Zionis untuk roboh al-Aqsa

MENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud 'Masjid Paling Jauh', terletak di Baitulmaqdis atau 'Jerusalem' bagi orang Yahudi.

Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis.


Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj.

‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis.

Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran.

Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya.

Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.

Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.

Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula yang kekal sehingga hari ini.

Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur dalaman.

Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa Palestin.

Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan baratnya.

Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat masjid pada 1984.

Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis).

Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.

Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu.

Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama.

Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.

Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah Masjid al-Aqsa.

Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.

Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut.

Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam.

Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel.

Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa.

Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.

Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.

Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967.

Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.

Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.

Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad.

Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid.

Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.

Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.

Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di bawahnya.

Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid.

“Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.

Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah.

Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat.

Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel.

Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu.

Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.

JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.

Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan terbabit.

Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”

Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman? Itulah antara persoalannya.

Hina sultan: Pemuda serah diri


KUALA LUMPUR 25 Jan. - Seorang pemuda yang didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu dalam blognya hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, petang ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menyerah diri kira-kira pukul 4.40 petang selepas artikel yang disiarkan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak di seluruh negara khususnya rakyat Johor.

Sehingga hari ini, polis Johor menerima 25 laporan terhadap penulis blog berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menubuhkan satu pasukan khas menyiasat perkara tersebut dan memberi jaminan penulis terbabit akan diheret ke mahkamah.

Sumber memberitahu, lelaki itu akan dibawa ke mahkamah di Kota Bharu pagi esok untuk perintah tahanan reman sebelum dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana petangnya.

"Sehingga malam ini, polis masih merekodkan keterangan lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lelaki tersebut dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blognya, adukataruna.blogspot.com baru-baru ini.

Susulan daripada kecaman pelbagai pihak, penulis itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog sama, kelmarin.

Dia juga menarik balik artikelnya itu sebagai tanda mengaku salah dan berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari semasa ke semasa.

Sumber memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekiranya terbukti bersalah lelaki berkenaan boleh dihukum penjara tiga hingga tujuh tahun.

Siasatan kes itu difahamkan dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

Sumber: utusan

Orang kanan Saddam dihukum gantung



BAGHDAD 26 Jan. – Orang kanan Saddam Hussein, Ali Hassan al-Majid telah menjalani hukuman gantung sampai mati semalam, menurut kerajaan Iraq.

Hukuman dijalankan selepas lapan hari dia dijatuhi hukuman mati kerana mengarahkan serangan gas ke atas penduduk Kurdis di kampung Halabja, timur laut Iraq pada 1988.

Dia yang lebih dikenali sebagai ‘Ali Kimia’ yang juga sepupu rapat Saddam adalah suspek paling dikehendaki oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2003. – AFP

Friday, January 8, 2010

Faktor pendirian Pas bercelaru



Slogan ‘Pas untuk semua’ memerangkap perjuangan sebenar Pas menegakkan agama Islam.


APAKAH sebenarnya pendirian Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah? Persoalan ini bukan sahaja bermain di fikiran umat Islam malah di kalangan penyokong parti itu sendiri.

Kenyataan seorang demi seorang pemimpin kanan parti tersebut bukannya menunjukkan dengan jelas pendirian Pas sebaliknya hanya menambahkan lagi kekeliruan.

Pada mula umat Islam menyangkakan bahawa pendirian Pas akan sama seperti mana kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang kesemuanya mereka menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Tetapi apabila Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad membacakan hasil mesyuarat Lajnah Politik parti itu yang menegaskan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh agama lain, asalkan ia tidak disalahkan guna, maka wujud kekeliruan yang ketara di kalangan umat Islam dan penyokong Pas.

Mereka tidak tahu kenyataan siapakah yang harus diikuti. Ia memandangkan perbezaan pendapat tersebut menyaksikan pertembungan antara dua kelompok dalam Pas iaitu satu puak yang mungkin membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik manakala satu lagi kelompok ialah golongan ulama yang membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan Islam.

Puak politik membuat kenyataan bahawa, ‘‘Pas ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.’’

Manakala Nik Abdul Aziz pula contohnya menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Kenyataan itu diperkukuhkan pula dengan peringatan Haron Din yang menasihatkan umat Islam berhati-hati kerana sokongan mereka kepada penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh membawa kepada kekufuran.

Adalah jelas sama ada Haron Din, Harun Taib, mahupun Nik Abdul Aziz, mereka membuat kenyataan berdasarkan kepada kepentingan Islam, ertinya soal politik diletakkan ke tepi. Sebab itulah Nasharuddin dengan tegas pada 2 Januari menyeru umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak umat Islam.

‘‘Tetapi malangnya di dalam Pas, ada kelompok yang terlalu melihat isu ini dari sudut politik, kesudahannya inilah jadinya, orang tertanya-tanya apakah sebenarnya pendirian Pas,’’ kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Menurut pemimpin muda tersebut, di dalam Pas sekarang sudah wujud satu kelompok yang menganggap apa juga isu yang diketengahkan oleh UMNO tidak harus diikuti oleh Pas, biarpun ia berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.

‘‘Puak-puak ini menganggap tidak boleh sama dengan UMNO. Apa yang UMNO perjuangkan Pas tidak boleh ikut. Apa pun isu yang dibangkitkan oleh UMNO akan dianggap mainan UMNO.

‘‘Kalau beginilah keadaan bagaimana kita hendak melihat UMNO dan Pas sekurang-kurangnya bersatu dalam soal kepentingan Islam.

‘‘Sepatutnya dalam isu kalimah Allah, tidak kiralah siapa pun yang memperjuangkan yang penting Pas perlu memainkan peranan kerana ia adalah parti Islah,’’ kata beliau yang ternyata kecewa dengan pendirian Pas.

Apa yang menimbul tanda tanya, apakah keputusan yang dibuat oleh Pas itu yang dilihat tidak selari dengan ulama-ulama Pas semata-mata kerana bermotifkan politik? Ia kerana Pas bukan sahaja mahu menjaga slogan ‘Pas Untuk Semua’, malah lebih daripada itu Pas juga ingin menjaga hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pendirian PKR dalam isu ini tidak harus dipedulikan kerana sampai kiamat pun, apa juga yang dilakukan oleh parti itu mereka akan meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Tetapi soalnya, adakah wajar Pas menjadi ‘pak turut’ dan demi menjaga hati dan undi, maka soal kepentingan Islam pun mahu diketepikan oleh sesetengah pemimpin dalam parti berkenaan.

Atas sebab itulah, pemimpin muda Pas yang dihubungi penulis tersebut menyatakan, oleh kerana soal kalimah Allah ini adalah isu agama dan akidah, ia sepatutnya diserahkan kepada Dewan Ulama atau Majlis Syura Pas untuk menentukan pendirian parti itu.

‘‘Tetapi malangnya, perhitungan politik seolah-olah mengatasi segala-galanya, kesudahannya Pas dilihat bercelaru dan tidak konsisten,’’ katanya.

Apa yang meresahkan di kalangan ahli Pas ialah mereka tidak tahu jika tindakan mengutamakan politik dalam isu seumpama itu akan menyebabkan wujud tafsiran bahawa ulama Pas hendak diperlekehkan.

‘‘Mereka orang berilmu, sepatutnya kita berpandu kepada mereka, apatah lagi Pas memperjuangkan Islam, kalaulah dalam isu agama pun pandangan mereka tidak mahu diambil kira, ke mana sebenarnya Pas hendak dibawa,’’ kata pemimpin muda itu lagi.

Semua kekalutan dan kekeliruan ini seharusnya ditamatkan segera oleh kepimpinan Pas. Ia kerana umat Islam amat memahami bahawa biarpun Pas berbeza fahaman politik terutamanya dengan UMNO tetapi jangan sampai ia menjadi batu penghalang ke arah bersama-sama memperjuangkan kepentingan Islam.

Isu kalimah Allah seharusnya tidak dilihat dari sudut kepentingan politik kerana sebaliknya seperti mana kata Nasharuddin ‘‘Satu pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini.’’

Justeru adalah wajar Pas perlu bijak menilai yang mana satukah isu politik dan yang mana satu isu agama, yang mana satu layak dibincangkan oleh Lajnah Politik dan yang mana satu perlu diserahkan kepada Majlis Syura.

Dalam soal kredibiliti Majlis Syura Pas, ia sudah pasti tidak akan menjadi persoalan kerana yang menganggotai terdiri daripada ulama-ulama utama dalam Pas. Kita harus mengakui mereka juga mempunyai pengaruh yang besar di kalangan ulama Islam tanpa mengira apa pun fahaman politik mereka.

Oleh itu, peranan mereka perlu dipertingkatkan dan bukan sekadar mengiakan sahaja apa yang diputuskan oleh jawatankuasa atau biro Pas yang lain. Kalaulah Pas sendiri tidak begitu yakin kepada Majlis Syura, bagaimanakah pihak lain hendak percaya bahawa majlis berkenaan adalah satu badan yang berwibawa?

Seperkara lagi, bagi sesetengah pemimpin Pas yang masih mahu melihat segala-galanya daripada sudut politik, mereka sepatutnya merujuk kepada Majlis Syura sebelum membuat kenyataan terutamanya yang berkaitan dengan soal akidah dan agama.

Langkah itu penting bagi mengelakkan Pas akan dilihat penuh dengan kekeliruan apabila menyatakan sesuatu pendirian atau pandangan.

Majlis Syura Pas perlu dimartabatkan kedudukannya bukan sekadar hanya menjadi hiasan dalam sebuah organisasi.




Sumber : Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Monday, January 4, 2010

MB Perak saman Suara Keadilan RM100 juta



IPOH 3 Jan. - Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan menyaman akhbar Suara Keadilan sebanyak RM100 juta berhubung artikel yang disifatkan beliau sebagai fitnah keterlaluan.

Katanya, beliau telah berbincang dengan peguamnya bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu yang melaporkan berita tanpa mengikut etika kewartawanan dan prinsip pemberitaan.

"Pada mulanya, cadangan adalah untuk saya menyaman mereka RM 1 atau 5 sen tetapi memandangkan pemimpin akhbar itu suka saman orang dengan nilai RM100 juta, jadi kenapa tidak saya saman RM100 juta juga?,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh di Kampung Tai Lee di Buntong di sini hari ini.

Sebelum ini katanya, beliau tidak pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan yang menggunakan bermacam-macam gelaran serta menulis pelbagai laporan palsu yang menyimpang bertujuan memburukkan kerajaan negeri pimpinannya.

"Tetapi dengan pembohongan yang keterlaluan dalam artikel keluaran terbaru mereka, sudah tiba masanya untuk saya bertindak,” katanya.

Zambry berkata akhbar itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menulis berita atau laporan kerana ia turut mencerminkan kredibiliti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Akhbar ini membuat pembohongan besar apabila melaporkan saya ditahan di Lapangan Terbang San Francisco di Amerika Syarikat, disiasat, disyaki pengganas dan kemudiannya dihantar pulang ke Malaysia...laporan terbabit tidak benar sama sekali dan ia jelas fitnah semata-mata,” katanya.

— BERNAMA

Wednesday, December 23, 2009

Di sebalik isu menantu Nik Aziz


DEWAN Pemuda Pas negeri Kelantan (DPPNK) kelihatan awalnya seolah-olah tidak lagi mempedulikan apa yang mungkin dirasa dan dianggap oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan keluarganya.

Dengan tidak lagi 'berlapik', ia menyelak semula isu, seakan-akan sengaja membiarkan ia bernanah semula ketika Nik Abdul Aziz bagaikan sudah mengatup kemas dan mahukan ia dihentikan.

Mengejutkan apabila DPPNK tiba-tiba menyentak dengan gesaan agar Ir. Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu Nik Abdul Aziz segera melepaskan jawatan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Biasalah, jika gesaan itu datang daripada Pemuda UMNO untuk menekan Pas tetapi ternyata isu ini bukan lagi dapat dituding sebagai mainan parti lawan seperti kelazimannya.

Jadi ia sudah menjadi luar biasa apabila belum keputusan rasmi dibuat, cadangan soal gesaan itu terus disuarakan oleh Ketua Penerangan DPPNK, Dr. Rosli Allani Abd. Kader, seolah-olah mula wujud pembangkang dalam parti.

Cadangan gesaan demi menjaga keutuhan parti itu tidak menjadi kenyataan akhirnya apabila kelmarin, DPPNK mula sejuk dan membatalkan mesyuarat dengan alasan "mengambil sikap tunggu dan lihat" perkembangan seterusnya.

Mengejutkan pula apabila Dr. Rosli pula yang tiba-tiba meletakkan semua jawatan dalam parti semalam setelah kes perkahwinannya meletup bagi mengelak Pas terheret dengan persoalan peribadinya.

Sebenarnya, tidak kedengaran hiruk-pikuk UMNO mengeksploitasi isu menantu ini malah parti lawan itu semacam sekadar menonton adegan demi adegan dalam drama politik Pas, mungkin melalui beberapa pengarah sendiri.

UMNO tidak berpesta, ia bagaikan tidak mengambil peluang itu sedangkan itulah yang menjadi kebimbangan Pas, isu yang mungkin akhirnya memualkan dan menyebabkan rakyat menikam Pas dengan teruknya dalam pilihan raya umum kelak.

Mungkinkah ini juga yang menyebabkan DPPNK tidak lagi dapat menahan sabar sedangkan Ariffahmi jelas akan berundur Mac depan, cuma beberapa bulan lagi baginya mempersiapkan diri apabila kehilangan kerjaya dan punca pendapatan.

Tentunya Pemuda Pas itu masih ingat bidasan Nik Abdul Aziz terhadap Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang disifatkannya 'memandai-mandai' kerana kembali mencungkil isu PMBK.

Sambil menegaskan perkara itu telah dibincangkan dan diselesaikan selepas pertemuan dengan pimpinan Pas Pusat baru-baru ini, bagi Nik Abdul Aziz tindakan Mahfuz satu kesilapan yang hanya memberi peluang kepada UMNO untuk 'berpesta'.

"Ucapan Mahfuz betul-betul beri peluang kepada UMNO untuk berpesta. Itu kesilapan dia kerana ini benda yang sudah disiarkan dan dibincangkan kenapa tidak berjumpa saya," ujarnya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengeluarkan kenyataan meminta Abdul Ariffahmi selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK, melepaskan jawatannya dengan segera demi menghormati roh dan semangat pimpinan Pas Pusat yang mahu ia disegerakan.

Dengan cara itu, ia dapat mengelakkan sebarang persepsi dan implikasi kewangan dalam PMBK kerana Abdul Ariffahmi masih boleh membuat sebarang keputusan melalui jawatan itu.

Ariffahmi menegaskan beliau akan berundur mengikut ketetapan yang dibuatnya sebelum ini selaras dengan terma dalam surat pelantikannya.

Bagi Abdul Ariffahmi, ia sekali gus akan memberikan peluang kepada PMBK mencari pengganti dan memastikan urusan pentadbiran tidak terjejas.

Namun Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Haron mengingatkan dengan kuasa yang masih ada sepanjang tempoh berbaki banyak lagi perkara boleh berlaku, jika Abdul Ariffahmi tidak 'berdiam diri' dari segi mulut dan tindakan.

Ada yang bersetuju isu peletakan jawatan ini sebenarnya sudah hampir berakhir dan tidak sepatutnya terus didendangkan, apatah lagi oleh DPPNK, ia bukan lagi persoalan besar.

Mungkin isu yang lebih besar tersembunyi di sebalik itu yang perlu disorot, dikupas dan diperincikan termasuk soal apakah PBMK sebagai penjaga kepada aset negeri telah menyimpang jauh daripada matlamat penubuhan sebenar.

Setakat mana aset itu dipelihara, dikembangkan dengan kepentingan negeri dan rakyat masih belum jelas pada padangan umum dan menjadi tanda-tanya termasuk beberapa projek hartanah yang diwar-warkan dengan gah.

Namun ia kelihatan seolah-olah mengambil alih peranan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri dan mula terlibat secara langsung dalam urusan perniagaan harian dengan memberapa pihak dikatakan mendapat kepentingan.

Di PMBK, ada yang mungkin melihat jaya atau gagal setiap perancangan projek akan turut menentukan untung rugi dari segi masa depan politik Pas kerana segalanya kelak akan terentang di depan mata.

Dengan tunjangan kuasa, pengaruh dan kewangan, ada yang percaya menerusi PMBK juga, percaturan halus boleh dilakukan tentang siapa yang bakal lebih dipercayai oleh Nik Abdul Aziz selaku pengganti.

Bahang konflik masih meruap dan ramai yang terpaksa menunggu dalam diam meneliti perkembangan cerita selanjutnya.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan

Tuesday, November 17, 2009

Tegah terima tajaan haji

MUFTI dan tokoh agama sepakat tidak boleh menunaikan haji menerusi tajaan jika mempunyai unsur-unsur rasuah, menimbulkan syak wasangka dan fitnah serta ada niat lain.

  • Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut menegaskan walaupun dibolehkan, beliau berharap semua pihak sedar bahawa langkah terbaik untuk mengerjakan haji ialah dengan menggunakan wang sendiri.
  • Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada masalah jika seseorang itu ingin menunaikan haji menerusi wang tajaan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur rasuah.
  • Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dusuki Ahmad berkata, persoalan sama ada boleh atau tidak seseorang itu menunaikan haji dengan wang tajaan adalah bergantung kepada niat kedua-dua belah pihak.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Individu berjawatan tidak boleh menerima tajaan daripada mana-mana pihak untuk menunaikan haji jika langkah berkenaan akan menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, individu terbabit juga perlu memastikan tajaan itu tidak dibuat semata-mata kerana mereka ada kuasa disebabkan memegang jawatan dalam kerajaan atau mana-mana organisasi.

“Komen saya ini bukan berniat menyentuh mana-mana pihak, tetapi mengikut hukum syarak seseorang itu boleh ditaja untuk mengerjakan haji dengan syarat pihak yang menaja tiada kepentingan dan langkah ini tidak membawa fitnah, syak wasangka atau keraguan.

“Walaupun perkara ini dibolehkan, saya berharap semua pihak sedar bahawa langkah terbaik untuk mengerjakan haji ialah menggunakan wang sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini timbul kontroversi apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku beliau ditaja pihak tertentu untuk menunaikan haji dengan kos RM65,000 dan mendapat layanan bertaraf ‘VVIP’.

Ekoran kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan.

Disebabkan timbul pelbagai polemik, Nik Abdul Aziz membatalkan hasratnya berlepas ke Mekah pada Rabu ini.

Menurut Nooh, sebaik-baiknya, individu yang ingin ditaja untuk menunaikan haji adalah daripada kalangan orang miskin yang tidak berkemampuan untuk mengeluarkan belanja bagi mengerjakan ibadat itu.

“Tajaan ini sepatutnya bagi menolong orang miskin. Ia tidak boleh dilakukan bagi membantu golongan berada kerana ia tidak berfaedah, sama seperti mencurah garam ke dalam laut,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada masalah jika seseorang itu ingin menunaikan haji menerusi wang tajaan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur rasuah.

“Tak apa dari segi syarak untuk mana-mana pihak menaja kita bagi menunaikan haji.

“Tetapi kita harus memastikan tiada unsur rasuah dan pihak yang melakukan ini tidak mempunyai niat lain,” ujarnya.

Mengulas isu sama, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dusuki Ahmad berkata, persoalan sama ada boleh atau tidak seseorang itu menunaikan haji dengan wang tajaan adalah bergantung kepada niat kedua-dua belah pihak.

“Kita mesti mengetahui niat orang yang menerima tajaan dan juga pihak yang menaja.

“Apakah tujuan penajaan ini? Jika ia bermaksud tidak baik dengan niat mencapai keuntungan keduniaan, ini sudah tentu tidak dibolehkan kerana ia bertentangan dengan tujuan sebenar ibadat haji,” katanya.


Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Friday, October 2, 2009

Jom Pangkah BN!







Salam..

Selamat menunaikan kewajipan dan selamat mengundi kepada semua pengundi2 DUN Bagan Pinang. Siswa mendoakan agar pengundi2 bijak memilih calon. Siswa mendoakan juga kemenangan berpihak ke atas Parti Barisan Nasional/ UMNO dengan Izin Allah S.W.T dengan majoriti besar agar DUN Bagan Pinang tidak menerima nasib buruk seperti apa yang berlaku di Selangor,Perak,Kedah dan Pulau Pinang dengan apa yang dilakukan oleh Pembangkang. Selamat mengundi.







Friday, September 11, 2009

UMNO parti Islam - PM


SIK 10 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, ini kerana perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutama di rancangan-rancangan Felda.

Beliau berkata, perubahan dalam kehidupan peneroka Felda yang kini menikmati kehidupan lebih baik berbanding dahulu hasil perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah selari dengan perjuangan Islam.

''Apakah yang kita (kerajaan) lakukan sekarang tidak Islam? Siapa kata perjuangan kita tak selari dengan tuntutan Islam?

''Walaupun tidak ada label Islam tapi kita telah melaksanakan tuntutannya, melakukan perubahan sehingga mengubah nasib peneroka Felda.

''Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan UMNO sejak 53 tahun lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam,'' tegas beliau.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya pada Program Rahmat Ramadan Warga Felda (PRRWF) 2009 di Masjid An-Nur, Felda Teloi Timur di sini, hari ini.

Najib berkata, kerajaan tidak mahu Islam dianggap lemah tanpa menguasai pelbagai bidang termasuk ilmu, ketenteraan dan ekonomi.

''Kita tidak mahu melihat umat Islam berbalah seperti di Iraq sehingga masyarakat hidup dalam ketakutan di mana-mana,'' katanya.

Beliau turut meminta umat Islam mengambil iktibar ibadah pada bulan Ramadan dan perjuangan Rasulullah SAW dalam membentuk kekuatan rohani serta jasmani.

Perdana Menteri memberikan contoh, peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan, seramai 313 umat Islam berjaya menewaskan musuh yang lebih besar walaupun dalam keadaan berpuasa.

''Mengapa tidak ambil panduan menerusi perkara ini. Kalau menerusi ibadat puasa pada zaman Rasulullah boleh menang, mengapa kita pada zaman ini tidak boleh mencipta kejayaan,'' katanya.

Perdana Menteri juga berjanji akan memastikan peneroka Felda sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan.

''Sebab itu, sejak dulu semasa saya menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya minta untuk jaga Felda dan sekarang pun apabila menjadi Perdana Menteri, saya tak mahu lepaskan Felda," kata beliau.

Terdahulu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau juga menyerahkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM1.34 juta kepada lebih 4,000 peneroka Felda Wilayah Alor Setar serta menyampaikan Anugerah Khas PRRWF 2009.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan.