Timbul kemusykilan yang membawa kepada keraguan, adakah majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat minggu lalu yang turut disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai suatu upacara rasmi amalan bukan Islam atau sekadar amalan taaruf (perhubungan kemasyarakatan sahaja).
Apa pun dari sisi akidah Islam, sesungguhnya amalan memohon 'keampunan' bagi pihak bukan Islam itu jelas dilarang keras seperti mana firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman bersamanya untuk memohon keampunan bagi orang musyrik sekalipun kaum kerabat sendiri. (at-Taubah: 113)
Begitu juga amalan dalam upacara ibadat atau pemakaian alat rasmi agama lain seperti salib dan tali pinggang paderi, semuanya dilarang kepada umat Islam daripada memakai dan menirunya dengan rela hati dan berlapang dada.
Oleh demikian, dikira haram (salah) bagi umat Islam yang tahu dan sedar untuk mengikuti upacara tersebut, melainkan kerana terpaksa atau tanpa disedari.
Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) melainkan mereka yang dipaksa (melakukan kerja-kerja kekufuran tersebut), sedangkan hatinya masih tetap dengan iman, tetapi sesiapa yang lapang hatinya dengan kekufuran itu, maka atasnya kemurkaan Allah dan untuk mereka azab seksa yang amat besar.
(al-Nahl:106)
Berdasarkan andaian inilah boleh difahami mengenai penghormatan yang diberi oleh Rasulullah SAW kepada jenazah seorang Yahudi yang diusung lalu di hadapan baginda, lalu baginda bangun memberi penghormatan kepadanya.
Para sahabat bertanya, adakah penghormatan tersebut harus diberikan juga kepada jenazah orang Yahudi. Lalu baginda bersabda, "Bukankah dia juga manusia (hamba Allah)." Jadi kita harus menghormati dan menyayangi setiap kejadian Allah (hamba- Nya) semata-mata, bukan kerana fahaman atau anutan agamanya.
Umat Islam yang diakui sebaik-baik umat sepatutnya dapat menjadi contoh ikutan dan teladan yang baik terutama daripada kalangan mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk dicontohi oleh masyarakat.
Mereka harus menjaga diri masing-masing dan jangan sekali-kali terlibat dengan amalan yang boleh meragukan dan mengelirukan orang ramai. Sehubungan ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tinggallah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan."
Untuk peringatan umat Islam, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita agar tidak hanyut dan menjadi 'pak turut' seperti mana sabda baginda yang bermaksud: "Jangan kamu jadi pak turut yang bersikap "aku bersama-sama orang ramai; kalau mereka baik, baiklah aku, kalau mereka tidak baik, aku juga tidak baik," malahan hendaklah kamu cekalkan hati kamu kalau orang ramai baik, "aku akan mengikut jejak mereka, "kalau mereka tidak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka." (Riwayat Tirmizi)
Biasanya kejadian tersebut dilakukan untuk mencari sokongan dan populariti. Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui hadis baginda yang bermaksud: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mengambil hati manusia nescaya dimurkai Allah ke atasnya dan menjadikan orang yang hendak diambil hatinya, menjadi marah kepadanya dan sesiapa yang menyebabkan keredaan Allah kerana menyebabkan kemarahan manusia kepadanya nescaya dia diredai Allah dan menjadikan hati orang yang marah kepadanya itu tadi bertukar menjadi sayang dan menyukainya. (Riwayat Tabrani)
Ada pun amalan upacara kemasyarakatan untuk merapatkan perhubungan dan mengeratkan perpaduan antara manusia sejagat, maka ia digalakkan. Ini berdasarkan firman-Nya bermaksud: Wahai manusia! Kami jadikan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia daripada kamu ialah yang orang paling bertakwa daripada kalangan kamu. (al-Hujuraat: 13)
Dalam hubungan kerjasama dan kemasyarakatan dengan bukan Islam, tidak ada larangan agama mengenainya, malahan ia digalakkan berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu terhadap orang kafir yang tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu untuk kamu berbuat baik kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah kasih akan orang yang berlaku adil (saksama). (al-Mumtahanah: 8)
Apa yang dilarang itu hanyalah menyerah kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mereka yang memerangi dan memusuhi umat Islam sebagai mana yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Allah melarang kamu terhadap bukan Islam yang memerangi kamu dalam agama dan telah mengusirkan kamu dari negara kamu, dan bekerjasama mengusir kamu untuk memberi kesetiaan dan kuasa kepada mereka. (al-Mumtahanah: 9)
Sesungguhnya, kita kadang kala meremehkan perilaku meragukan yang muncul daripada dalam diri kita demi mengejar sesuatu yang sama ada disedari atau tidak sebagai sesuatu yang sementara dan tidak kurang pula bersifat fatamorgana.
Demi memenuhi bisikan naluri, kita tergamak melakukan sesuatu yang 'membimbangkan' masyarakat, khususnya di kalangan orang Islam. Dan lebih parah jika kita sanggup 'membelakangkan' agama, semata-mata mengejar sesuatu yang entah apa-apa.
PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
No comments:
Post a Comment