Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Belia Islam perlu lebih rasional jadi ejen perubahan demi agama, bangsa
ISU hukum hudud, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pemansuhan sekolah agama dan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) antara pertanyaan dilontarkan mahasiswa pada Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam 2009 (Isco 09) anjuran Dewan Amal Islam Hadhari (Damai), di ibu negara Sabtu lalu.
Ia antara 30 soalan dikemukakan ketika sesi pembentangan kertas kerja 'Peranan Mahasiswa Islam Dalam Menstabilkan SosioPolitik di Malaysia' yang dibentangkan oleh Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (Citu) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Muhamad Rahimi Osman.
Ada mahasiswa bertanya kenapa Malaysia sebagai negara Islam tidak melaksanakan undang-undang hudud selain mempersoalkan sama ada ISA masih relevan atau tidak untuk diguna pakai hari ini.
Muhamad Rahimi berkata, soalan bertalu-talu itu pernah ditanyakan beliau serta mahasiswa sejak 20 tahun lalu dan fenomena itu dinamakan 'idealisme mahasiswa'.
Katanya, mahasiswa mempunyai idealisme perjuangan tetapi apabila dalam masyarakat dan alam realiti, mereka berjumpa dengan jawapan kepada setiap persoalan, ketika itu mereka memahami kenapa yang berlaku itu, berlaku.
"Kebanyakan soalan anda perlu dijawab oleh Perdana Menteri. Namun, sebagai mahasiswa Islam, anda perlu menjadi ejen perubahan ke arah kebaikan dalam masyarakat.
"Anda adalah kumpulan penekan untuk memastikan agenda Melayu Islam dapat dijayakan dengan bergerak melalui landasan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
"Jangan pula apabila ditanya kenapa tidak bersolat, anda kata sebab kerajaan tidak Islam. Kuasa memang pada kerajaan tetapi fardu ain hak individu. Jadi, kepemimpinan mahasiswa mempunyai hak menasihati kerajaan ikut prosedur yang ada," katanya.
Sebelum itu, beliau memperkenalkan peserta kepada sosiopolitik negara bagi membolehkan kesinambungan perjuangan agama dan bangsa diteruskan kepemimpinan muda hari ini untuk masa depan.
Katanya, menjadi kewajipan mahasiswa Islam memahami latar belakang sosiopolitik negara supaya mengetahui seterusnya menghormati kontrak sosial yang dipersetujui pemimpin kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.
Ini termasuk pembentukan pola masyarakat pluralistik yang berlaku selepas penjajahan, perlembagaan sebagai dokumen perundangan serta panduan asas sistem politik, kedudukan agama Islam, bahasa dan adat Melayu, Dasar Ekonomi Melayu (DEB) serta pembinaan negara bangsa Malaysia.
Muhamad Rahimi berkata, generasi muda tidak melihat sejarah tetapi merujuk apa berlaku hari ini menyebabkan mereka menuntut perkara yang dirasakan wajar sedangkan hakikatnya keadaan tidak seperti disangkakan dan memerlukan penelitian.
Beliau berkata, beberapa perkara perlu diberi perhatian supaya dapat menstabilkan sosiopolitik negara kini kerana orang Melayu tidak matang berpolitik, maka berlaku perpecahan di kalangan umat Islam.
"Bangsa Melayu memerlukan kematangan dan kebijaksanaan berpolitik. Jangan jadikan perbezaan fahaman sebagai benteng pemisah dan kerjasama dalam semua urusan. Sering kebencian membunuh perkara rasional sehingga apabila berbeza parti, sanggup putuskan silaturahim," katanya.
Katanya, umat Islam perlu sedar apabila tiada kuasa, mereka menjadi minoriti yang bakal menerima nasib seperti saudara di Selatan Thailand, Mindanao serta etnik Uighur di Xinjiang yang terpinggir serta hak mereka diketepikan.
Kematangan politik juga mengutamakan semangat perpaduan serta kesatuan kerana sejarah membuktikan kejatuhan umat Islam disebabkan perpecahan. Perbezaan pendapat adalah fitrah tetapi kepentingan ummah perlu diutamakan daripada kepentingan sendiri.
Muhamad Rahimi menekankan penguasaan ilmu dalam konteks umat Islam, perlu menimbangkan secara mendalam pengertian adab yang merujuk pemahaman terhadap sesuatu perkara, menegakkan keadilan, membanteras kezaliman.
Katanya, kepemimpinan berwawasan adalah aset kerana pemimpin mampu mengubah struktur negara daripada mundur kepada maju dan makmur seperti Malaysia yang berjaya keluar daripada negara mundur dengan kesungguhan serta kewibawaan pemimpinnya.
Penekanan terhadap usaha ke arah memantapkan mahasiswa Islam yang dibentangkan Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (Hadhari UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, memberi gambaran lebih jelas peranan siswa membantu bangunkan masa depan negara.
Katanya, lima kriteria perlu diberi perhatian untuk menjadi mahasiswa mantap iaitu visi yang jelas, pandai merancang, tingkat ketrampilan, bermuhasabah serta beradab kerana status mahasiswa bukan diperoleh secara suka-suka tetapi terletak padanya harapan.
"Mahasiswa yang mantap tahu tujuan melanjutkan pengajian di menara gading seterusnya memastikan mereka menjadi yang baik dengan ada kecintaan membangunkan ilmu demi diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
Mohd Yusof berkata, wawasan yang jelas menjadi asas panduan menetapkan sasaran yang idealistik, akhirnya membolehkan mahasiswa mencapai kecemerlangan. Kehadiran di universiti tanpa matlamat menjadikan kehidupan sebagai mahasiswa tidak bererti.
No comments:
Post a Comment